MU, Liverpool, City pun kalah juga! Bung Moktar komen kekalahan Sabah FC


  • Podium
  • Sabtu, 05 Mac 2022

TONGGAK pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali (kiri) cuba mengekang kemaraan penyerang NSFC, Zaquan Adha Abd Razak. — MFL

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa), Datuk Seri Bung Moktar Radin mempertahankan kekalahan pasukan Sabah FC dalam aksi pembukaan Liga Super menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada Jumaat.

Menurut Bung Moktar, kemenangan dan kekalahan merupakan adat dalam pertandingan, bahkan kelab gergasi dunia juga tidak terlepas daripada merasai pahitnya kekalahan.

"Bola begitulah ada menang ada kalah, mana ada menang terus. MU (Manchester United), Liverpool dan MC (Manchester City) pun kalah juga," katanya di Facebook.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata demikian bagi menjawab komen seorang penyokong Sabah FC di Facebook yang mempersoalkan kekalahan itu.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas itu, Sang Badak tewas 0-1 hasil jaringan tunggal Khair Jones pada minit ke-52.

Sebelum itu, penyerang Sabah FC, Neto Pessoa berpeluang meletakkan tuan rumah di depan melalui sepakan penalti pada minit terakhir separuh masa pertama, namun ketangkasan penjaga gol NSFC, Ahmad Syihan menepis bola berjaya menafikan peluang itu.

Walaupun berpeluang menambah jaringan menerusi beberapa percubaan, ketumpulan penyudah menyebabkan Sabah FC gagal mencari gol yang dimahukan sehingga tamat perlawanan.

Sabah akan turun menentang PJ City FC pada perlawanan seterusnya yang juga bakal berlangsung di Stadium Likas pada 9 Mac. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram