Tiga tonggak Liverpool terus lakar rekod


  • Podium
  • Isnin, 07 Mac 2022

VAN Dijk (kiri) dan Konate (kanan) antara yang mencatat rekod peribadi ketika menentang West Ham. — Reuters

KEMENANGAN tipis Liverpool ke atas West Ham dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad menyaksikan sejumlah statistik mengagumkan dicatat, selain tiga mata penting bagi memberi tekanan kepada pendahulu liga, Manchester City.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu berada pada prestasi yang menggerunkan sejak akhir-akhir ini, memenangi 12 perlawanan terakhir berturut-turut dan tidak tewas dalam 15 perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.

Perlawanan menentang West Ham pada Sabtu juga merupakan kenangan yang manis buat pemain seperti Virgil Van Dijk, Trent Alexander-Arnold dan Ibrahima Konate yang semuanya menunjukkan prestasi mengagumkan dalam kemenangan 1-0 di Anfield itu.

Dalam perlawanan tersebut, Van Dijk mencatat rekod sebagai pemain paling lama yang tidak pernah tewas di laman sendiri untuk satu kelab di EPL, iaitu sebanyak 60 perlawanan.

Daripada 60 perlawanan itu, beliau menang sebanyak 52 kali dan seri lapan kali.

Bagi Ibrahima Konate pula, dia mencatatkan permulaan yang hampir sempurna sejak menyertai Liverpool apabila masih tidak kalah lagi setakat ini.

Bek tengah muda itu sangat menonjol ketika menentang West Ham dan kemampuannya dilihat semakin memberangsangkan dan menyinar bersama Van Dijk dan juga Joel Matip serta Joe Gomez.

Dalam 18 penampilannya setakat ini, dia mencatatkan kemenangan sebanyak 13 kali dan seri lima kali.

Dan menurut Michael Reid dari Opta, ia adalah permulaan tanpa kalah paling lama yang dicatatkan pemain di kelab itu sejak Ray Houghton, yang tidak tewas dalam 23 penampilan pertamanya pada 1987/88.

Konate masih mempunyai lima lagi perlawanan untuk menyamai rekod itu dan tidak mustahil dia dapat memecahkannya berdasarkan prestasi Liverpool ketika ini

Pertahanan kanan, Alexander-Arnold, sekali lagi menambah jumlah bantuan golnya pada Sabtu apabila melakukan hantaran untuk gol Sadio Mane.

Ia merupakan bantuan gol ke-16 untuknya musim ini, paling banyak yang pernah dia catatkan dalam semusim.

Ia adalah satu rekod menakjubkan, menjadikan jumlah bantuan gol di EPL yang dicatatnya meningkat kepada 44.

Rekod bagi bantuan gol paling banyak yang dihasilkan oleh pemain pertahanan kini dipegang oleh Leighton Baines iaitu sebanyak 53.

Di samping itu, jumlah 16 bantuan gol yang dicatatkan pemain berusia 23 tahun itu menyamai rekod peribadi terbaik legenda kelab, Steven Gerrard, yang pernah direkodkan dalam tiga musim berbeza. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram