Saddil Ramdani masih jadi buruan kelab Eropah


  • Podium
  • Selasa, 22 Mac 2022

SEBELUM ini, kelab Serbia, FK Novi Pazar difahamkan gagal mendatangani Saddiil kerana pasukan The Rhinos masih memerlukan khidmatnya.

WALAUPUN pemain sayap Sabah FC, Saddil Ramdani menolak tawaran dari kelab luar negara pada Januari lalu kerana pasukan The Rhinos masih memerlukan khidmatnya namun masih ada beberapa kelab luar mahu mendapatkan tanda tangan pemain kelahiran Indonesia itu.

Memetik laporan Indosport, sebanyak tiga kelab Eropah berebut-rebut mendapatkan khidmat Saddil selepas pemain kebangsaan negara jiran itu menyinar bersama Sabah FC.

Pada saingan Liga Super Malaysia 2022, Saddil Ramdani tampil dalam dua perlawanan dan berjaya menjaringkan gol cantik ketika Sabah FC menang 3-1 ke atas PJ City pada pada 9 Mac lalu.

Kemudian, Saddil sekali lagi menampilkan aksi cemerlang membantu Sabah FC menang 2-0 ke atas kelab kerdil, Respect FC walaupun hanya muncul dari bangku simpanan dalam saingan Piala FA pada 12 Mac lalu.

Disebabkan pretasinya yang menyerlah itulah menjadikan bekas pemain Bhayangkara FC itu dilaporkan diburu beberapa kelab Eropah.

Pada musim perpindahan Januari 2022, kelab Serbia, FK Novi Pazar difahamkan gagal mendatangani Saddil dan perkara itu didedahkan oleh bekas ketua jurulatih Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto.

Dalam satu wawancara, Kurniawan berkata, kandungan kontrak Saddil bersama Sabah FC tidak mempunyai klausa khas untuk mewajibkan kelab itu melepaskan pemain berkenaan sekiranya mendapat tawaran dari pasukan Eropah.

“Saya kata, Saddil kena buat perjanjian kalau ada kelab dari Jepun, Korea Selatan atau Eropah, Sabah FC mesti lepaskan.

"Saya bukan ejen, dan saya tidak lagi mengawal kandungan kontrak dan Saddil telah menandatanganinya.

"Selepas tawaran daripada pasukan Eropah, Sabah FC tidak mahu melepaskan Saddil.

“Sebaik saya melihat kandungan kontrak tersebut, ternyata dalam perjanjian tidak ditulis secara hitam putih dalam kontrak tersebut,” katanya lagi.

Walaupun tidak berhijrah ke Eropah pada tahun ini, Saddil masih mempunyai peluang besar untuk ke Eropah dalam pasaran perpindahan musim sejuk 2023 akan datang.

Kurniawan mendedahkan terdapat tiga kelab dari tiga negara berbeza iaitu Slovakia, Bosnia dan Serbia yang masih berminat dengan pemain itu.

"Saya bertanya kepada ejen sama ada mereka akan terus memancing Saddil tahun depan dan ejen itu mengatakan masih terbuka tawaran itu.

"Terdapat beberapa pasukan yang menghubungi saya dan saya juga pernah mengadakan pertemuan dengan pemilik kelab di Slovakia, Bosnia dan Serbia," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram