PEMAIN ini menjadikan Malaysia sebagai destinasi pertamanya untuk berkelana di luar negara kelahirannya iaitu Brazil.
Rekod jaringannya pada musim lalu bersama kelab divisyen tiga Brazil, Remo berjaya menambat hati pengurus Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee untuk membawanya ke Malaysia.
Bersama Remo musim lalu, pemain ini menjaringkan 10 gol dalam 15 perlawanan di semua kejohanan.
Pemain dimaksudkan adalah Neto Pessoa. Tidak ramai tahu, Pessoa pernah berhenti seketika bermain bola sepak atas faktor kewangan.
"Pada awal karier saya, bermain bermain beberapa musim secara percuma, dikaburi oleh janji palsu oleh pihak pengurusan kelab Acre.
"Pada separuh kedua 2016, saya keluar dari kelab Rio Branco untuk menjadi pegawai pemasaran selama lima bulan.
"Saya kemudiannya berjumpa dengan seorang individu, Profesor Alvaro yang mengajar tentang posisi, taktikal dan sebagainya.
"Dari situlah perubahan dalam karier bola sepak bermula," katanya dalam satu temuramah bersama portal Brazil baru-baru ini.
Pessoa, 27, mengakui memilih Sabah sebagai destinasi baharu dalam karier bola sepaknya kerana tawaran diberikan oleh pasukan itu sukar untuk ditolak.
"Pihak pengurusan Sabah menghubungi wakil saya dan membuat tawaran. Pada ketika itu, saya menerima banyak tawaran di Brazil tapi saya tahu ia merupakan keputusan paling sukar untuk dibuat.
"Tetapi saya menerima tawaran Sabah atas faktor kewangan. Apa yang ditawarkan kepada saya di Sabah adalah dua kali ganda daripada tawaran terbaik diterima di Brazil.
"Saya menandatangani kontrak selama setahun dan saya sudah berada di negara ini beberapa minggu," menurutnya.
PESSOA (kanan) pernah berhenti bermain bola seketika kerana faktor kewangan. — Facebook
Dalam temuramah sama, Pessoa turut berkongsi struktur pasukan Sabah.
"Struktur kelab merupakan antara paling asas untuk bermain bola sepak peringkat tertinggi, namun Sabah mempunyai stadium dan pusat latihan bersaiz sederhana.
"Dalam pasukan ketika ini, ada seorang lagi pemain Brazil, Jackson Souza yang bermain untuk Fortaleza tahun lalu.
"Terdapat tiga lagi pemain asing iaitu Park Tae-soo dari Korea Selatan; Saddil Ramdani dari Indonesia dan Taiki Kagayama dari Jepun," ujarnya lagi.
Selain itu, Pessoa turut mengatakan mahu menyesuaikan diri suasana di Malaysia dengan segera.
"Saya percaya ini merupakan proses yang perlahan dan mengambil masa yang banyak ketika anda meninggalkan negara asal anda.
"Di Malaysia, segala-galanya berbeza, makanan, budaya, bahasa dan bola sepak itu sendiri.
"Saya cuba menyesuaikan diri dengan persekitaran yang serba baharu ini, terutamanya dalam isu profesional," jelasnya.
Baru-baru ini, Pessoa menjaringkan gol kemenangan ketika Sabah menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dengan keputusan 1-0 dalam aksi pramusim Piala Sabah Maju Jaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram