PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menghamburkan pujian yang tinggi terhadap bintang Indonesia, Saddil Ramdani dan menggelarnya sebagai salah seorang pemain terbaik Asia Tenggara.
Dalam satu temubual bersama ESPN Asia, Kim Swee berkata, kualiti yang ada pada pemain berusia 22 tahun itu meletakkannya sebaris dengan bintang Asia Tenggara seperti pemain Thailand, Chanatip Songkrasin.
“Melihat kepada umurnya yang masih muda dengan kualiti yang dimiliki, bagi saya dia merupakan antara pemain terbaik di Asia Tenggara.
“Saya tak sangkal perkara itu, saya sudah lihat ramai pemain Asia Tenggara lain seperti Chanatip (Songkrasin),” katanya.
Walaupun Sabah FC tewas pada perlawanan pembukaan Liga Super menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada Jumaat, Saddil beraksi cemerlang sehingga dianugerahkan pemain terbaik perlawanan.
Mengulas lanjut, Kim Swee berkata, beliau percaya Saddil bakal menjadi pemain yang penting dalam skuadnya pada kempen Liga Super musim ini.
“Dia masih muda. Umurnya baru 22 tahun. Dengan kemampuan yang dia miliki, kepantasan, serta kematangan di atas padang, maka saya percaya Saddil akan menjadi tunjang utama kami tahun ini,” kata beliau.
Sebagai bintang yang disayang penyokong Sabah FC, Ramdani ternyata tidak mengecewakan skuad The Rhinos apabila menyumbang lima gol dan lima bantuan gol sepanjang beraksi dalam 38 perlawanan bersama kelab itu sebelum musim baharu ini.
Dengan usia yang masih muda, Ramdani berpeluang menimba banyak pengalaman berharga dari pemain berpengalaman di Sabah FC seperti Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali yang tiba dari Kedah.
Selain itu, pengalaman ketua jurulatih, Ong Kim Swee juga pastinya dapat menyerlahkan lagi bakat Ramdani yang disebut-sebut sebagai antara pemain muda berbakat Indonesia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram