Penyelamat Perak FC belum hantar LOI


  • Podium
  • Jumaat, 18 Mac 2022

PERAK FC sebelum ini berdepan dengan masalah sehingga tidak mampu membayar gaji pemain mereka.

PENGURUSAN Perak FC mendedahkan sudah ada pihak yang berminat untuk mengambil alih pasukan Liga Premier tersebut namun sehingga kini masih belum memberi sebarang Surat Tunjuk Minat (LOI).

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah yang berkata, Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd yang juga sebagai pemilik Perak FC setakat ini belum menerima sebarang maklumat daripada mana-mana pihak yang berminat.

“Kami masih menunggu surat berkenaan (LOI). Saya akui memang ada pihak yang menyatakan berminat mengambil alih Perak FC tetapi seperti saya kata tadi, kami masih tunggu LOI daripada mereka.

“Prosedurnya sama macam seperti ketika IMC ambil alih Perak FC daripada Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa). Kami tunggu mereka serahkan LOI, kemudian kami akan buat due diligence bagi pastikan pihak berkenaan memiliki kewangan yang kukuh.

“Kemudiannya, kami akan melaporkan kepada pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL). Setelah mendapat kelulusan MFL, barulah kami akan teruskan dengan proses ambil alih tersebut,” katanya.

Sejak beberapa hari lalu, berita berhubung Perak FC yang dikatakan bakal mendapat pemilik baharu hangat dibincangkan peminat skuad The Bos Gaurus itu di laman sosial.

Dalam pada itu, Muhammad Yunus berkata, dia tidak boleh mendedahkan identiti pihak berkenaan biarpun mengakui perbincangan sudah diadakan sebelum ini.

“Memang sudah ada perbincangan, cuma kami belum dapat LOI daripada mereka. Jadi saya tak boleh kata sama ada mereka ini benar-benar berminat atau macam mana. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram