Bekas bintang The Bos Gaurus optimis Penang FC segarang musim lepas


  • Podium
  • Jumaat, 18 Mac 2022

BERSAMA Perak FC, Adib menjaringkan dua gol dalam empat penampilan bersama Perak FC II dan membuat 24 kemunculan bersama Perak selain meledak satu jaringan. — Facebook Perak FC

PEMAIN sayap Penang FC, Adib Abdul Ra'Op sama sekali tidak menyangka mampu meraih tempat dalam kesebelasan utama bersama pasukan itu pada awal musim ini walaupun hadir sebagai antara muka baharu.

Bekas pemain Perak FC itu berazam tidak mahu mensia-siakan peluang diberikan dan ingin kekal konsisten dalam tiap perlawanan bagi membantu Penang FC pada musim ini.

“Sangat bersyukur kerana saya diturunkan dalam kesebelasan utama dalam tiga perlawanan lepas, ini satu permulaan baik bersama Penang.

“Saya rasa buat keputusan tepat untuk hadir ke sini dalam kembangkan lagi karier ke satu tahap yang lebih baik.

“Walaupun begitu, saya masih belum berpuas hati dengan tahap permainan saya kerana masih cuba memahami corak permainan pasukan selain mencari keserasian dengan pemain baharu.

“Saya juga faham jangkaan tinggi dari penyokong Penang namun saya akan berusaha dari tiap perlawanan yang dilalui untuk memberikan impak kepada pasukan,” katanya.

Pemain berusia 23 tahun itu merupakan antara bakat muda yang menyerlah dalam pasukan The Bos Gaurus pada musim lalu selepas pemergian beberapa pemain utama di pertengahan musim seperti J. Partiban, Kenny Pallraj dan Nazirul Naim Che Hashim.

Bersama Perak FC, Adib menjaringkan dua gol dalam empat penampilan bersama Perak FC II dan membuat 24 kemunculan bersama Perak selain meledak satu jaringan.

Terdahulu, Penang FC tewas 0-1 kepada JDT dalam aksi pembukaan di Stadium Sultan Ibrahim sebelum terikat seri 1-1 pada perlawanan kedua berdepan Melaka United FC di Stadium Bandaraya.

Adib berkata, dia masih yakin bahawa Penang FC berpotensi untuk mengulangi pencapaian musim lalu apabila berjaya menamatkan tempat ketiga Liga Super walaupun permulaan perlahan di awal musim.

“Masih terlalu awal untuk perkatakan peluang Penang pada musim ini kerana kami baharu sahaja lalui dua perlawanan dengan aksi pertama berdepan JDT.

“Tambahan pula, kami hanya turun dengan tiga pemain import ekoran Casagrande dan Endrick digantung dalam dua perlawanan berkenaan.

“Saya rasa kami boleh peroleh keputusan lebih baik selepas melalui beberapa perlawanan lagi, tambahan masa rehat yang ada ini boleh digunakan sepenuhnya untuk pasukan perbaiki kelemahan,” katanya.

Untuk aksi Liga Super selepas ini, Penang FC akan berdepan dengan Sarawak United FC di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak pada 5 April 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram