PENGURUSAN Sabah FC akan menasihati pemainnya, Rizal Ghazali untuk memberi penjelasan terperinci kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berikutan menolak pelawaan menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya.
Kelab itu dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, pihaknya tidak membenarkan pemainnya menolak panggilan pasukan kebangsaan.
"Sabah FC menyokong penuh dan sentiasa bekerjasama terhadap pasukan kebangsaan dan pemilihannya.
"Dengan itu, pengurusan Sabah FC akan menasihati Rizal Ghazali untuk memberi penjelasan terperinci kepada FAM mengenai ketidakhadirannya.
"Sebelum ini, Rizal menyatakan dia akan pulang ke kampung halamannya di Kedah untuk menguruskan hal peribadi keluarga,” menurut kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu lagi, pengurus Sabah FC, Marzuki Nasir akan berhubung dengan Rizal untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai situasi itu.
Tambahnya, mewakili Harimau Malaya adalah satu pengiktirafan tertinggi dan seseorang pemain harus berasa bangga sekiranya terpilih mewakili pasukan kebangsaan.
Terdahulu, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, FAM mengambil pendekatan tunggu dan lihat susulan tindakan Rizal menolak pelawaan menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya.
Katanya, ia berikutan latihan skuad Harimau Malaya tersebut diadakan luar dari tarikh Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA dengan tiada sebarang tindakan boleh diambil terhadap pemain pertahanan itu.
Kalendar FIFA bagi bulan ini berlangsung pada 21 hingga 29 Mac 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram