PADA Selasa, seorang pengguna Facebook, Azhar Ibrahim menarik perhatian peminat Kelantan FC selepas menawarkan sebuah tanah kepada pemilik kelab, Norizam Bin Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham untuk dijadikan pusat latihan.
Menurutnya, tanah tersebut berkeluasan 13 ekar dan bertempat di Bukit Jawa, Jalan Pasir Putih, Kelantan.
Penyokong Kelantan FC begitu teruja dengan tawaran yang diberikan itu dan menggesa Zamsaham supaya berhubung dengan Azhar bagi membincangkan tentang perkara itu.
Komen Azhar Ibrahim di Facebook berkenaan tawaran sebidang tanah untuk dijadikan pusat latihan Kelantan FC.
Majoriti menghubungi saudara Azhar pada Selasa bagi mendapatkan kepastian dan maklumat lanjut mengenai tawaran itu.
Menurut Azhar, dia bukanlah pemilik tanah itu, sebaliknya merupakan seorang peguam yang ditugaskan bagi melakukan transaksi penjualan tanah tersebut.
"Tanah itu untuk dijual dengan harga pasaran atau willing buyer, willing seller. Ia merupakan tanah seluas 16 ekar yang terletak di Bukit Jawa, Jalan Pasir Putih.
"Tanah tersebut berkedudukan strategik tidak jauh dari KB (Kota Bharu), dan terletak di tepi jalan besar. Ia milik sebuah keluarga dan saya mendapat mandat sebagai peguam untuk lakukan transaksi. Ini bergantung pada perbincangan nanti," katanya kepada Majoriti.
Kelantan FC ketika ini difahamkan mempunyai masalah berkenaan stadium apabila Stadium Sultan Muhammad IV yang disewa bakal melalui kerja-kerja naik taraf lampu limpah serta naik taraf stadium bermula 10 Mac hingga 24 Ogos depan.
Perkara itu diumumkan oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Kelantan menerusi satu kenyataan Facebook pada 24 Februari lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram