AKSI penuh drama derbi Lembah Klang antara pasukan KL City FC dan Selangor FC dalam saingan Liga Super pada Jumaat dicemari dengan satu insiden pergaduhan yang berlaku di luar stadium selepas tamat perlawanan.
Menerusi beberapa video yang tular di media sosial, beberapa penyokong dilihat bertumbuk antara satu sama lain sambil cuba dileraikan oleh seorang anggota polis yang bertugas.
Selain itu, terdapat mercun yang dibaling ke arah penyokong yang berkumpul di luar Stadium Kuala Lumpur selepas tamat perlawanan, dipercayai akibat perasaan tidak puas hati.
Menjelaskan kejadian itu, seorang wakil penyokong KL City FC yang mahu dikenali sebagai Manaf berkata, insiden berkenaan tercetus akibat tindakan sekumpulan individu yang tidak bertanggungjawab.
"Masa kami (kelab penyokong) keluar daripada stadium, pergaduhan memang sudah berlaku. Tetapi yang memulakan pergaduhan itu bukanlah dalam kalangan kami tetapi 'budak-budak kasual' yang sering mencetuskan masalah.
"Mereka ini sering berlagak seperti ultras dan kebiasaannya akan memakai baju hitam. Memang kumpulan ini selalu buat hal termasuk membaling suar dan mercun.
"Mereka juga kononnya rebel dan ada saja benda yang mereka tidak puas hati. Mereka pernah desak COO (Ketua Pegawai Operasi) dan Tan Sri Annuar Musa (Bekas Presiden KL City FC) meletak jawatan, juga pernah meluahkan rasa tidak puas hati berkenaan logo pasukan," katanya kepada Majoriti.
Manaf kecewa dengan tindakan kumpulan tersebut yang disifatkan merosakkan reputasi penyokong-penyokong KL City FC yang lain.
"Mereka ini tiada kena mengena dengan kelab penyokong pun, tetapi disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga," luahnya.
Pada perlawanan berkenaan, kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas terikat 3-3 selepas wisel penamat dibunyikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram