Polis dedah punca sebenar gaduh di gelanggang futsal Putatan, buru beberapa pemain terlibat


  • 112
  • Rabu, 16 Mac 2022

TANGKAP layar insiden pergaduhan di luar gelanggang futsal di Putatan, Sabah pada Selasa. — Facebook

POLIS sedang menyiasat video tular pergaduhan sekumpulan lelaki yang berlaku di luar sebuah gelanggang futsal di Putatan, Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Mohd Haris Ibrahim berkata, kejadian itu dipercayai bermula berikutan perselisihan faham antara pemain dan penyokong di luar gelanggang.

“Kejadian itu berlaku di sebuah pusat futsal di Putatan sekitar jam 9.30 malam. Kertas siasatan telah dibuka selepas seorang mangsa membuat laporan berhubung perkara itu.

"Kami sedang menjejaki beberapa orang lain yang terlibat dalam pergaduhan itu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Rabu, tular satu video yang menunjukkan beberapa individu memukul dan memijak seorang lelaki di luar gelanggang futsal sambil diperhatikan beberapa individu lain.

Dalam pada itu, Mohd Haris menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai kes itu, dan menyerahkan siasatan kepada pihak polis.

Menurut maklumat orang awam, kejadian dikatakan tercetus apabila salah seorang individu dalam video itu marah kerana anaknya dipukul oleh mangsa, lalu bersemuka dengannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram