Tak puas hati punca gaduh, 2 penyokong sudah dicekup


  • 112
  • Ahad, 06 Mac 2022

TANGKAP layar insiden pergaduhan melibatkan penyokong KL City FC dan Selangor FC di Stadium Kuala Lumpur pada Sabtu.

INSIDEN pergaduhan melibatkan penyokong Kuala Lumpur City dan Selangor FC di luar Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Sabtu dipercayai berpunca akibat rasa tidak puas hati.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya telah menahan dua lelaki dalam insiden itu.

"Dipercayai pergaduhan itu berpunca akibat daripada rasa tidak puas hati antara dua penyokong terbabit," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau memberitahu, siasatan masih dijalankan untuk memburu individu lain yang terlibat dalam kekecohan tersebut.

Pada Sabtu, polis menahan dua suspek bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Kedua-dua penyokong terbabit kini direman tiga hari sehingga Isnin untuk tindakan lanjut.

Insiden yang tular di media sosial itu berlaku selepas perlawanan Liga Super yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 3-3. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram