Penyokong Selangor, KL gaduh di luar Stadium KLFA Cheras


  • Tular
  • Sabtu, 05 Mac 2022

TANGKAP layar rakaman video menunjukkan kekecohan yang berlaku di Stadium KLFA Cheras pada malam Jumaat. — Twitter

TULAR di media sosial rakaman video menunjukkan kekecohan yang berlaku di luar Stadium Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Cheras.

Suasana huru-hara itu dipercayai berlaku selepas perlawanan pembukaan Liga Super 2022 antara pasukan tuan rumah, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dan Selangor FC pada malam Jumaat.

Rakaman video klip tersebut dimuat naik pemerhati sukan, Zulhelmi Zainal Azam di Twitter yang menyaksikan suasana kecoh di luar stadium selepas aksi seri dengan keputusan 3-3.

"Panas di luar Stadium KLFA Cheras!" ciapnya ringkas pada malam Jumaat.

Bagaimanapun, tidak jelas tentang bagaimana kekecohan itu boleh tercetus hingga membawa kepada adegan pergaduhan.

Menerusi rakaman itu, dilihat ada seorang penyokong bertindak menendang salah seorang individu yang sedang bergelut dengan seorang lagi penyokong.

Pada masa sama, adegan itu cuba dileraikan oleh seorang anggota polis yang bertugas, namun keadaan dilihat tidak begitu terkawal dengan penyokong saling membuat provokasi terhadap satu sama lain.

Rata-rata peminat bola sepak tempatan kesal dengan insiden pergaduhan itu yang dianggap telah mencemari perlawanan pertama Liga Super 2022 khususnya dalam keadaan negara masih bergelut pandemik Covid-19.

"Dari kes gaduh di Terengganu, Johor minggu lepas...minggu ni KL. Hentikanlah liga bola sepak ni sekejap sementara kita masih dalam Covid-19. Belum isu pasal vaksin lagi," kata seorang penyokong, MK Yee di Facebook. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram