KEMELUT gaji pemain dan pegawai Perak FC sudah memasuki tahap kritikal apabila ada antara mereka tertangguh bayaran pinjaman kepada pihak bank.
Bercakap kepada Majoriti, seorang pemain Perak FC yang enggan dikenali mendedahkan ada pemain yang sudah dua bulan tidak membayar sewa kereta kerana masih tertunggu-tunggu gaji daripada pihak pengurusan.
Selain itu katanya, pengurusan kelab juga gagal membayar sewa rumah yang kini sudah tertunggak selama beberapa bulan.
Terdahulu Majoriti melaporkan, The Bos Gaurus kini terpalit pula dengan isu tunggakan bayaran rumah sewa bagi ketiga-tiga skuad Liga Premier, Piala Presiden dan juga Piala Belianya.
Menurut ejen rumah sewa yang dikenali sebagai Nazri, tunggakan tersebut merangkumi bayaran deposit, sewa selama dua bulan dan juga lain-lain bayaran berkenaan untuk tiga buah rumah yang berjumlah hampir RM14,000 sejak Januari lalu.
"Memang betul apa yang dikatakan (ejen) itu. Memang betul tak bayar lagi (sewa rumah).
"Kita tengah tunggu janji pihak pengurusan sekarang ni. Ada pemain yang sangkut bayar kereta dua bulan, sebulan.
"Kita akan berbincang dengan jurulatih kerana ada penyokong mahu tolong kita untuk selesaikan bayaran sewa rumah sama ada pinjaman ke macam mana kita tak tahu lah," kata pemain berkenaan.
Majoriti difahamkan, barisan pemain dan jurulatih Perak FC akan mengadakan pertemuan dengan kelab penyokong bagi mencari jalan bagi menyelesaikan isu tempat tinggal mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram