Tak bayar sewa RM14,000, pemain Perak FC hilang tempat tinggal


  • Podium
  • Sabtu, 12 Mac 2022

SATU demi satu masalah menimpa Perak FC termasuk kehilangan tempat tinggal gara-gara tidak melunaskan sewa rumah.

SUDAH jatuh ditimpa tangga. Belum lagi selesai isu tunggakan gaji yang menyelubungi kelab, Perak FC kini berdepan satu lagi masalah melibatkan kediaman pemain mereka.

Ini kerana, The Bos Gaurus kini terpalit pula dengan isu tunggakan bayaran rumah sewa bagi ketiga-tiga skuad Liga Premier, Piala Presiden dan juga Piala Belianya.

Menurut ejen rumah sewa yang dikenali sebagai Nazri, tunggakan tersebut merangkumi bayaran deposit, sewa selama dua bulan dan juga lain-lain bayaran berkenaan untuk tiga buah rumah yang berjumlah hampir RM14,000 sejak Januari lalu.

"Memang dah banyak kali saya cuba berurusan dengan pihak Perak FC untuk menyelesaikan perkara ini tetapi agak susah untuk berurusan dengan mereka.

"Saya pernah call dan follow up dengan mereka untuk urusan tanda tangan perjanjian dan deposit... itu pun susah nak dapat, macam-macam alasan diberikan," dakwanya kepada Majoriti.

Menurutnya, setakat ini, hanya sebuah rumah yang deposit serta perjanjiannya sudah dibayar dan ditandatangani oleh pengurusan kelab, iaitu rumah yang didiami pemain-pemain skuad utama Perak FC.

Jelasnya, pemilik rumah memberi tempoh sehingga Ahad untuk Perak FC menyelesaikan bayaran berhubung rumah tersebut.

"Jika mereka tak bayar, saya minta jasa baik kepada mereka untuk kosongkan rumah tersebut.

"Saya lihat di media sosial pemain-pemain skuad Belia dan Presiden sudah mengosongkan rumah yang mereka duduk, cuma tinggal satu rumah saja lagi ketika ini," katanya.

Tambahnya, beliau terpaksa menanggung kerugian kepada pemilik rumah jika Perak FC tidak melangsaikan bayaran tersebut.

"Rumah yang didiami pemain-pemain utama Perak FC ada security deposit sampai 15 April ini, kalau sampai tarikh tu mereka tak bayar mereka kena keluarlah.

"Saya beri mereka duduk walaupun tanpa perjanjian disebabkan atas rasa kasihan dan saya juga merupakan seorang penyokong The Bos Gaurus, tapi saya tak sangka jadi macam ni pula," katanya.

Beliau berharap pengurusan Perak FC akan bertanggungjawab untuk menyelesaikan perkara itu dengan segera.

Majoriti sedang mendapatkan respons Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah berhubung perkara itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram