‘Melalak macam coach, cukup-cukuplah sentimen anak jati Sabah’


  • Podium
  • Rabu, 09 Mac 2022

PEMAIN anak jati Sabah dikatakan lebih baik merantau ke skuad lain di Semenanjung atau luar negara untuk menimba pengalaman.

SEGELINTIR penyokong kelab Sabah FC sebelum ini membuat tuduhan kononnya pengendali skuad itu, Datuk Ong Kim Swee tidak memilih anak jati negeri berkenaan dalam saingan Liga Super Malaysia musim ini.

Mereka dilihat melepaskan rasa marah di media sosial dengan menyifatkan pemilihan kesebelasan utama kelab oleh jurulatih itu, kononnya ada elemen pilih kasih dan berat sebelah.

Begitupun, ada penyokong yang tampil memberi sokongan terhadap keputusan yang dibuat oleh bekas pengendali skuad Harimau Muda itu.

ssc2

TANGKAP layar komen seorang penyokong Sabah FC. — Facebook

Seorang penyokong Sabah FC, Jamil Jamali berkata, isu itu sepatutnya tidak diperbesarkan-besarkan lebih-lebih lagi apa yang dibuat Kim Swee berhubung pemilihan itu ada benarnya.

"Masih ada pemain tempatan Sabah. Janganlah isu ini diperbesarkan. Sekarang tahun 2022 sudah. Zaman bola sepak profesional.

"Betul kata Datuk Ong Kim Swee. Siapa menunjukkan prestasi cemerlang, dia layak main kesebelasan utama," katanya menerusi satu hantaran di Facebook Sabah Supporters Club (SSC).

Jamil berkata, pemain tempatan mestilah bersaing secara sihat dan tunjukkan prestasi cemerlang.

"Keutamaan sekarang adalah trofi dan kemenangan!! Bagi sokongan kepada Datuk Ong Kim Swee dan pasukan Sabah FC," katanya.

Kim Swee selaku pengendali Sabah musim ini juga telah membuat kenyataan menafikan dakwaan kononnya ada komplot cuba meminggirkan beberapa pemain tempatan beraksi pada Liga Super Malaysia 2022.

Tegas Kim Swee, setiap perlawanan yang membabitkan pasukan beliau tidak ada istilah ‘pilih kasih’ seperti yang digembar-gemburkan para penyokong sewaktu pemilihan barisan kesebelasan utama kelab.

ssc

TANGKAP layar komen seorang penyokong Sabah FC. — Facebook

Sementara itu, seorang lagi penyokong skuad Sang Badak itu yang menggunakan nama Encik Abam berkata, sentimen kenegerian akan wujud sampai bila-bila.

Katanya, segelintir penyokong mahu anak jati Sabah 'penuh' dalam skuad The Rhinos.

"Apabila tak perform dalam skuad, mereka suruh pula keluar dari pasukan dan keluar cari pasukan di Semenanjung. Apabila skuad Sabah FC kekurangan player anak jati Sabah, mereka mula bising.

"Itulah mereka yang kurang fahami tentang bola sepak. Tahu melalak complain sana sini," katanya di Facebook SSC.

Encik Abam berpendapat, adalah lebih baik pemain anak jati Sabah merantau ke skuad lain di Semenanjung atau luar negara untuk menimba pengalaman.

"Tidak kisah dalam skuad Sabah FC penuh anak jati Sabah atau tidak, saya lebih mahukan mereka merantau ke skuad lain yang dari Semenanjung, ke luar negara lagi bagus dan semua orang nampak player tersebut, kita pun boleh bangga.

"Ini kau bangga dalam skuad kelahiran apabila menang, (tapi) apabila kalah mula melalak complain macam kau coach.

"Padahal kau yang tidak tahu sistem bola sepak. Kau tidak ambil tahu kau tidak kaji selidik sendiri," katanya.

Menurutnya lagi, berkemungkinan penyokong terbabit bajet pandai dan hanya kenal pemain Sabah FC atau pemain anak jati Sabah namun pemain pasukan lain langsung tidak kenal barangkali tidak ambil tahu.

"Apabila player tak dipanggil ke skuad kebangsaan dia mula bising pula, salah satu punca dia tidak kenal player dari skuad lain.

"Dia hanya kenal player skuad tersebut sebab itu dia mahu player tersebut terpilih ke skuad kebangsaan, inilah fans bajet pandai. Haha.. segelintir fans," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram