TINDAKAN kapten Penang FC, Abdul Latiff Suhaimi yang tersilap langkah apabila menjaringkan gol sendiri dalam perlawanan menentang Melaka United pada Selasa, mengundang pelbagai persepsi peminat bola sepak tanah air khususnya peminat The Panthers.
Ada yang mengecam dan ada juga yang tampil memberi sokongan buat Abdul Latiff.
Tidak terkecuali, Adam Cr berkata, jangan hanya disebabkan Abdul Latiff membuat kesilapan itu membuatkan orang ramai terus melupakan perjuangannya selama dua tahun membantu Penang FC kembali ke kancah saingan Liga Super.
Katanya, dalam tempoh itu, Abdul Latif berjuang membantu pasukannya menjuarai Liga Premier dan mendapat tempat ketiga dalam Liga Super.
"Jangan hanya sebab mistake (kesalahan) sahaja, kita lupa jasa dia selama dua tahun berjuang.
"Benda kita tak tahu boleh skor macam tu tiba-tiba. Terus nak menghukum," katanya menerusi laman Facebook.
TANGKAP layar sokongan peminat Penang FC kepada Abdul Latif. — Facebook
Tambahnya, manusia tidak pernah lari daripada kesilapan selain menyifatkan perkara yang terjadi pada Selasa itu sebagai takdir.
"Ni semua takdir, kalau takdir kita draw game semalam maka draw la.
"Ni kira okay lagi dari kalah. Sepatutnya kita bukan menghukum dia. Kita bagi semangat dekat dia.
"Dia orang lama rasa dia pun dah matang dalam bola sepak. Jadi, kita kena faham bukan senang nak jadi kapten," tegasnya.
Terdahulu, Penang FC gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri apabila sekadar seri 1-1 dengan Melaka United di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.
Skuad Harimau Kumbang bermula dengan garang apabila sepakan percuma dari luar petak penalti seawal minit keenam oleh Rafael Vitor Santos De Freitas terkena tiang gol Melaka.
Serangan bertali arus tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila pemain tengah Penang FC, Muhammad Danial Ashraf Abdullah berjaya menjaringkan gol dari sudut sukar pada minit ke-27, selepas menerima hantaran dari Muhammad Faiz Mazlan.
Melaka yang banyak bertahan pada awal pelawanan separuh masa pertama, berjaya menyamakan kedudukan apabila Abdul Latiff, menjaringkan gol sendiri yang berpunca daripada sepakan penjuru oleh pemain import Sony Norde pada minit ke-40.
Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengatur gerakan serangan, namun gagal menambah gol dan keputusan 1-1 itu kekal sehingga ke wisel penamat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram