Pan-gon temubual sendiri tujuh calon akhir penolong ketua jurulatih


  • Podium
  • Jumaat, 18 Feb 2022

PAN-gon masih masih belum memilih calon terbaik bagi mengisi kerusi panas itu. — The Star

KETUA Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan-gon, dilaporkan akan bertemu sendiri dan menemubual tujuh calon akhir bagi jawatan penolong ketua jurulatih tempatan buat skuad Harimau Malaya.

Difahamkan juga, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah memilih dua calon akhir bagi jawatan itu, namun Pan-gon lebih memilih untuk bertemu sendiri semua calon berkenaan.

Ketujuh-tujuh calon tersebut merupakan jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah; bekas pemain kebangsaan, Wan Rohaimi Wan Ismail; jurulatih Uitm FC, Wan Mustafa Wan Ismail; bekas jurulatih Melaka United FC, Zainal Abidin Hassan, ketua juruatih skuad B19 Selangor FC, Firdaus Aziz Tan; penolong jurulatih Kelab Johor Darul Takzim (JDT), Ismail Ibrahim dan ketua jurulatih Sarawak United, E.Elavarasan.

Terdahulu, Pan-gon mengumumkan senarai barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya yang baharu di bawah kendaliannya iaitu Pau Marti Vicente (penolong jurulatih), Cho Junho (jurulatih penjaga gol), Dr. Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (jurulatih analisis prestasi).

Pan-gon dalam sidang media pertamanya selepas dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya juga memberitahu, beliau masih lagi mencari calon terbaik bagi mengisi kerusi panas itu dalam kalangan jurulatih tempatan.

Beliau juga memaklumkan akan berbincang dengan pengarah teknikal, Scott O’Donell, untuk mencari calon terbaik bagi jawatan itu.

Dalam pada itu, media sebelum ini pada mulanya melaporkan jawatan itu bakal diisi Evalarasan, namun Pan-gon ketika sidang media pengenalannya sebagai jurulatih Harimau Malaya pada Khamis secara terbuka mengakui tidak tahu-menahu mengenai perkara itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram