KETUA jurulatih Melaka United, Risto Vidakovic percaya pasukannya mampu menyaingi lawan mereka pada Liga Malaysia yang akan membuka tirai minggu depan walaupun pasukan itu melakukan persiapan agak singkat untuk musim baharu.
Beliau berkata, beberapa pemain baru menyertai skuad itu tetapi mereka berjaya menyesuaikan diri dengan baik dalam latihan dan perlawanan.
"Kami bermula lambat, dan tidak dapat mengubah masa tetapi pasukan ini menunjukkan prestasi yang bagus dan akan bertambah baik dari semasa ke semasa.
"Ramai pemain yang lewat menyertai pasukan dan mereka baru saja menjalani latihan selama seminggu bersama rakan sepasukan yang lain. Sejujurnya ia bukan masa yang mencukupi tetapi saya yakin kita akan bersaing dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pasukannya menewaskan Selangor FC menerusi sepakan penalti setelah terikat 3-3 dalam perlawanan Persahabatan Piala Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Melaka 2022 di Stadium Hang Jebat pada malam Jumaat.
Dalam pada itu, Vidakovic memuji anak buahnya yang menunjukkan semangat juang walaupun ketinggalan pada perlawanan itu.
Beliau juga enggan meletakkan sasaran khusus untuk Melaka United tahun ini kerana tidak mahu meletakkan tekanan kepada anak buahnya.
Pada perlawanan pembukaan Liga Super musim ini, Melaka United akan bertemu PJ City FC di Stadium MBPJ pada 5 Mac ini. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram