PERAK FC dilaporkan masih belum menjelaskan bayaran yang dijanjikan pihak pengurusan membabitkan tunggakan dua bulan pemain baru dan empat bulan pemain lama.
Pada 3 Mac lalu, kelab itu mengeluarkan satu kenyataan rasmi memberi jaminan pembayaran tunggakan gaji untuk dua bulan terakhir selewat-lewatnya 7 Mac.
Bercakap kepada Majoriti, CEO Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah berkata, ia melibatkan 35 pemain dan 16 kakitangan kelab yang bersama pasukan itu ketika ini.
"Keutamaan kita sekarang adalah untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain serta kakitangan yang berada di kelab ketika ini. Jumlahnya tidak sampai setengah juta," katanya.
Pemain dan jurulatih The Bos Gaurus yang tidak berpuas hati dengan perkara itu meluahkan perasaan mereka di media sosial.
"Dan sesungguhnya scammer itu benar," menurut satu hantaran Instastory jurulatih, Shahrulnizam Mustapa sambil berkongsi kenyataan rasmi tersebut.
Tangkap layar hantaran Instastory Shahrulnizam pada Isnin.
Selain itu, pertahanan kanan, Danish Haziq turut memuatnaik Instastory yang memaparkan gambar skuad Perak FC berserta emoji sedih.
Majoriti kini cuba mendapatkan maklum balas daripada Perak FC berhubung perkara itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram