Dua faktor rentap Melaka United, PJ City FC dipesan tidak terlalu selesa


  • Podium
  • Ahad, 06 Mac 2022

AKSI pemain PJ City FC sewaktu menentang Melaka United yang menyaksikan mereka menang 1-0. — Bernama

PEMAIN Petaling Jaya (PJ) City FC diingatkan supaya tidak terlalu selesa selepas menewaskan Melaka United 1-0 pada perlawanan pertama musim baharu Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu.

Ketua Jurulatih, P. Maniam berharap pasukannya mengekalkan momentum kemenangan dan aksi yang layak dipuji berkata skuad Phoenix perlu bersedia mendepani cabaran dalam liga, terutama ketika berdepan Sabah FC di Likas, Sabah pada Rabu depan.

"Melaka United merupakan pasukan yang kuat dan bukan senang nak menang dengan mereka tetapi pemain PJ City telah menunjukkan semangat yang tinggi, bermain sebagai satu pasukan dan bertungkus lumus untuk mencatatkan kemenangan ini,” katanya yang ditemui selepas perlawanan.

Meskipun bermain dengan 100 peratus pemain tempatan, PJ City berjaya mengatasi Melaka yang dibarisi lima pemain import - pertahanan Mikel Justin Cagurangan Baas dari Filipina, pemain tengah Sony Norde (Haiti), Emmanuel Oti Essigba (Ghana) dan penyerang Ifedayo Olusegun (Nigeria) dan Adriano Narcizo (Brazil) dalam kesebelasan utama.

Bekas penyerang Harimau Muda S.Kumaahran menjaringkan gol menerusi jaringan cantik pada minit ke-42 untuk memperoleh tiga mata buat pasukan tuan rumah.

Maniam turut memuji pemain seperti Kumaahran, Darren Lok, Mahali Jasuli, kapten K. Gurusamy dan V. Ruventhiran yang bermain dengan baik biarpun bermain di posisi sayap belakang (wingback) buat pertama kali.

Ditanya sama ada beliau menjangkakan lebih ramai pemain PJ City akan dipanggil menyertai skuad kebangsaan selepas barisan kejurulatihan pasukan Harimau Malaya yang diketuai Kim Pan Gon yang hadir menyaksikan perlawanan malam Sabtu, Maniam berkata masih terlalu awal untuk mereka membuat keputusan berdasarkan pusingan pertama liga.

Sementara itu, ketua jurulatih Melaka Risto Vidakovic menyatakan kekurangan persiapan pramusim dan kelewatan pemain melaporkan diri menjalani latihan merupakan punca kekalahan mereka.

"Bagi kami, musim bermula sangat awal disebabkan kami lambat memulakan persiapan. Saya tahu pemain berdepan masalah kerana ramai yang tiba lewat, pemain import tiba hanya 10 hari sebelum liga bermula.

"Ini sangat jelas terutama pada separuh masa pertama perlawanan. Kami tidak bermain sebagai satu pasukan, lebih banyak aksi individu. Sukar untuk menyatakan (berapa lama perlu bersedia) kerana kami akan mengharungi perlawanan demi perlawanan, kami perlu belajar daripada kekalahan ini, berubah menjadi lebih baik dan bertambah baik,” katanya.

Vidakovic bagaimanapun enggan mengulas sebab pemain lewat melapor kepada pasukan.

Skuad Sang Kancil dilaporkan berdepan tunggakan gaji sekali lagi awal tahun ini selepas ditolak tiga mata pada awal musim 2020 dan 2021 kerana gagal menjelaskan gaji dan dokumen berkaitan mengikut waktu ditetapkan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram