Ini satu tamparan — Kim Swee


  • Podium
  • Sabtu, 05 Mac 2022

KIM Swee mahu pemainnya bangkit menentang PJ City pada 9 Mac ini. — Sabah FC

PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mahu anak-anak buahnya segera bangkit daripada kekalahan kepada Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam aksi pembukaan Liga Super.

Sang Badak tewas 0-1 di Stadium Likas pada Jumaat hasil jaringan tunggal Khair Jones pada minit ke-52.

Kim Swee jelas kecewa selepas para pemainnya gagal memanfaatkan beberapa peluang keemasan untuk menjaringkan gol.

“Kita mensia-siakan banyak peluang termasuk sepakan penalti dan apabila kita diberi peluang kita tidak memanfaatkannya.

“Apabila Negeri Sembilan berjaya mendapatkan gol melalui set piece, ia merupakan satu tamparan dan bagi saya kita harus bangkit semula terutamanya apabila bermain dengan PJ City pada perlawanan akan datang,” katanya selepas tamat perlawanan.

Penyerang Sabah FC, Neto Pessoa berpeluang meletakkan tuan rumah di depan melalui sepakan penalti pada minit terakhir separuh masa pertama, namun ketangkasan penjaga gol NSFC, Ahmad Syihan menepis bola berjaya menafikan peluang itu.

Walaupun berpeluang menambah jaringan menerusi beberapa percubaan, ketumpulan penyudah menyebabkan Sabah FC gagal mencari gol yang dimahukan sehingga tamat perlawanan.

Sabah akan turun menentang PJ City FC pada perlawanan seterusnya yang juga bakal berlangsung di Stadium Likas pada 9 Mac. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram