Ismir kongsi rahsia kuasai permainan FIFA


  • eSports
  • Sabtu, 22 Jan 2022

ISMIR (dua dari kanan) bermain FIFA secara profesional selepas menerima inspirasi daripada jurulatihnya, AmTuah. — Ihsan Ismir

ASPEK kemahiran asas dalam permainan video FIFA merupakan antara perkara yang dititikberatkan oleh atlet e-sukan profesional ini.

Bagi Iskandar Mirza Mohd Mustafa atau lebih dikenali sebagai Ismir, kemahiran asas seperti hantaran, menggelecek dan rembatan adalah penting bagi menguasai permainan video berkenaan.

"Selain itu, rahsia dan kunci kepada permainan yang baik dalam FIFA adalah dengan selalu berada dalam keadaan serta suasana yang positif.

"Pemain kegemaran saya ketika bermain 'mode' FIFA Ultimate Team (FUT) adalah David Ginola kerana dia memenuhi kriteria dan corak permainan yang saya inginkan," katanya kepada Majoriti.

Screenshot 2022-01-21 175722

GINOLA merupakan pemain kegemaran Ismir ketika bermain FIFA. — Facebook

Tambah Ismir, salah satu kelebihan bermain FIFA adalah ia memberikan peluang buat dirinya untuk menjadi seorang pemain bola sepak secara maya.

"Sebagai seseorang yang mempunyai minat mendalam terhadap sukan bola sepak, namun tidak dapat merealisasikan impian menjadi pemain bola sepak, FIFA menawarkan peluang itu tetapi melalui platform yang berbeza iaitu secara maya," ujarnya.

Atlet e-sukan berusia 24 tahun itu juga mementingkan kecergasan fizikal bagi memastikan dirinya dalam keadaan terbaik.

"Saya akan melakukan aktiviti berenang dan berjoging. Rutin harian saya bergantung kepada jadual latihan yang disediakan oleh jurulatih iaitu AmTuah.

"Apabila menjelang pertandingan e-sukan, semestinya saya akan mempersiapkan diri dengan latihan permainan video yang intensif," katanya lagi.

Ismir bermain permainan video sejak 2017 dan mula serius dalam e-sukan selepas melihat pencapaian yang dikecapi oleh AmTuah.

Salah satu pencapaian terbaiknya adalah mendapat tempat keempat dalam Kejohanan E-Piala Malaysia edisi pertama.

"Sasaran saya pada tahun ini adalah memenangi Kejohanan FIFAe Club Series 2022.

"Saya juga meletakkan impian untuk memberikan persembahan dan permainan yang terbaik dalam Kejohanan FIFA Global Series 2022," ujar beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram