Rajin solat berjemaah, tonggak import Tok Gajah dapat hadiah 'tempah khas' Mufti Pahang


  • Podium
  • Rabu, 02 Mac 2022

SAMASSA (tengah) menyarungkan jubah yang ditempah khas buat dirinya. — Facebook

DI sebalik kelincahan di atas padang, penjaga gol Sri Pahang FC, Mamadou Samassa rupanya rajin mendirikan solat secara berjemaah di masjid.

Baru-baru ini, bekas penjaga gol kebangsaan Mali itu menerima dua pasang jubah yang dihadiahkan oleh Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan.

Menerusi satu perkongsian di Facebook Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan, Samassa menerima hadiah itu daripada Mufti Pahang, Prof Adjung Datuk Seri Dr Hj Abd Rahman Haji Osman pada malam Selasa.

MUFTI Pahang menyampaikan hadiah jubah kepada Samassa. — Facebook

"Alhamdulillah pada malam ini Sahibus Samahah Prof Adjung Datuk Seri Dr Hj Abd Rahman Haji Osman, Mufti Pahang telah sudi melapangkan masa bagi menyerahkan jubah hadiah kepada saudara Mamadao Samassa.

"Samassa merupakan penjaga gol pasukan Sri Pahang FC dan merupakan jemaah terbaharu kami yang sering menunaikan solat berjemaah dan solat Jumaat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan.

"Semoga kita sama-sama beroleh keberkatan," katanya.

Melalui perkongsian foto-foto yang disertakan bersama hantaran status itu, Samassa yang juga jemaah tetap masjid itu dilihat menerima dua helai jubah masing-masing berwarna biru gelap dan coklat lembut.

Pemain berusia 32 tahun itu turut mengambil peluang mencuba memakai kedua-dua jubah tersebut.

Difahamkan, jubah itu ditempah khas di Kompleks Teruntum, Kuantan memandangkan pemain dengan ketinggian 1.97 meter bertubuh tinggi lampai.

Sementara itu, menerusi satu perkongsian lain daripada Facebook Tok Gajah Forever pada 7 Februari lalu, Samassa mengajak umat Islam di seluruh negara untuk mengimarahkan masjid.

"Saya kini berada dalam masjid di Pahang (Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan). Saya nak berpesan kepada semua, datang ke masjid untuk beribadah adalah perbuatan mulia.

"Saya harap mesej saya ini diterima semua. Jangan lupa 'moh solat Jumaat weh'," katanya.

Samassa diletakkan sebagai penjaga gol utama Sri Pahang FC bagi menggantikan bekas penjaga gol kebangsaan, Helmi Eliza Elias yang tidak dilanjutkan kontrak.

Selain Samassa, tiga lagi penjaga gol tempatan skuad Hogoh Pahang Hogoh ialah Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin, Daniel Wafiuddin Sa'dun dan Wan Mohd Syazmin Wan Rozaimi.

Penjaga gol berdarah Perancis itu berpengalaman beraksi di Ligue 1 bersama Guingamp dan Troyes sebelum berhijrah ke Greece untuk bermain dengan Sivasspor dan terbaharu Levadiakos sebelum menyertai Sri Pahang FC.

Berusia 31 tahun, Samassa pernah mewakili Perancis di pelbagai peringkat umur sebelum membuat penampilan bersama skuad kebangsaan Mali di peringkat senior, yang mana dia pernah membantu negaranya menduduki tempat ketiga di Piala Negara-Negara Afrika 2013. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram