Pernah tolak vaksin, import baharu Sri Pahang kongsi derita Covid-19


  • Podium
  • Selasa, 01 Mac 2022

KETKEOPHOMPHONE merupakan salah seorang pemain Laos ketika saingan Piala AFF Suzuki di Singapura hujung tahun lalu. — Agensi

KEHADIRAN pemain pertama Laos di Liga Super, Billy Ketkeophomphone yang menyertai Sri Pahang musim semestinya ditunggu para peminat Tok Gajah.

Penyerang berusia 32 tahun itu yang sebelum ini bermain bersama pasukan Ligue 2 Perancis, USL Dunkerque merupakan antara pemain yang membarisi skuad kebangsaan Laos ketika saingan Piala AFF Suzuki di Singapura hujung tahun lalu.

Meskipun gagal menjaringkan sebarang gol, ketua jurulatih Sri Pahang, Christophe Gamel dilaporkan tertarik dengan aksi Ketkeophomphone pada kejohanan berkenaan.

Pada Julai tahun lalu, pemain kelahiran Perancis itu mengakui pernah diserang Covid-19, menyebabkan beliau tersisih daripada skuad selama beberapa perlawanan.

"Ia sangat sukar. Saya demam, sakit-sakit badan, sakit hidung dan juga tekak. Isteri saya dijangkiti dua hari selepas saya... dengan anak-anak, ia tidak mudah.

"Sehari sebelum perlawanan, saya tidak rasa begitu baik. Keesokan harinya, saya bercakap dengan pegawai perubatan mengenainya dan saya didapati positif.

"Saya tidak divaksinasi ketika itu kerana saya tidak menyokongnya," katanya dalam satu temu ramah bersama portal sukan Perancis.

Menurut Ketkeophomphone, beliau melalui tempoh yang agak sukar ketika itu termasuk kehilangan berat badan sebanyak lima kilogram dalam masa kurang dua minggu.

Selain itu, beliau juga tidak mempunyai selera makan dan kerap berasa sesak nafas dan panas badan ketika menaiki tangga.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi kenangan pahit apabila mengalami kecederaan di bahagian ligamen pada 2016 yang menyebabkan beliau terpaksa berehat lebih setahun.

"Saya masih ingat lagi tarikh 21 September 2016, menentang Caen... ia terukir dalam diri saya. Walaupun saya tidak pernah mengalami kecederaan serius sebelum ini, saya segera sedar bahawa ia sangat serius.

"Ada tiga hingga empat minit lagi sebelum babak pertama tamat dan lutut saya retak. Saya segera dikeluarkan menggunakan pengusung. "Tiada siapa yang menjangkakannya, terutamanya kerana ia tidak melibatkan terjahan keras, sebaliknya kerana sokongan yang tidak baik.

"Bukan senang melalui proses tersebut, lebih setahun baru saya kembali," katanya.

Jelas Ketkeophomphone, beliau terpaksa melalui tiga pembedahan disebabkan kecederaan itu namun mengakui bahawa lututnya berasa lebih kuat sekarang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram