KETUA Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang mengakui pihaknya ada mempertimbangkan beberapa nama untuk jawatan ketua jurulatih pasukan sebelum melantik pengendali dari Perancis, Christophe Gamel.
Ketika ditanya mengenai khabar angin yang mengatakan bekas Pengarah Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim dan pengendali kelab itu sejak 2017, Dollah Salleh turut dipertimbangkan untuk jawatan itu, Mohammed Suffian berkata, terdapat beberapa pihak yang menawarkan diri untuk mengendalikan skuad Tok Gajah.
"Memang ada yang menawarkan diri, kita tak boleh tolak mereka yang nak bersama dengan pasukan tetapi penilaian itu akhirnya bukan saya yang buat, ia melibatkan pihak lembaga pengarah dan juga pemilik kelab.
"Maka atas pertimbangan tersebutlah kita memilih untuk mengambil Christophe Gamel bagi jawatan tersebut," katanya dalam satu temu bual bersama portal sukan tempatan.
Gamel dilantik sebagai ketua jurulatih Sri Pahang FC menggantikan Dollah Salleh bermula Disember tahun lalu.
Beliau telah bersama kelab itu sejak awal musim 2021 sebagai penolong jurulatih sebelum diberikan peranan mengendalikan pasukan Piala Presiden.
Dalam pada itu, Mohammed Suffian berkata, segala urusan mengenai perpindahan pemain diserahkan sepenuhnya kepada barisan kejurulatihan.
Menurutnya, pihaknya tidak mencampuri urusan tersebut dan hanya melibatkan diri dalam menyediakan persiapa untuk skuad seperti tempat latihan.
"Kita tak mencampuri urusan (perpindahan pemain), apabila pandangan kita diminta barulah kita akan membantu.
"Dari segi teknikal dan taktikal semuanya kita serahkan kepada barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan untuk berbincang, dan tanggungjawab mereka untuk melaksanakan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram