KEJAYAAN Johor Darul Takzim (JDT) memenangi Piala Sultan Haji Ahmad Shah buat kali kelima berturut-turut jelas memberikan gambaran mereka sudah bersedia untuk sekali lagi mendominasi Liga Malaysia (Liga-M) khususnya Liga Super musim ini.
Bagi pemerhati bola sepak negara, Azlan Johar, beliau melihat kejayaan JDT kali ini sudah cukup memberikan amaran awal kepada barisan pencabar mereka betapa seriusnya skuad Harimau Selatan itu bagi mengharungi musim baharu 2022.
“Berdasarkan kepada corak permainan yang ditunjukkan JDT (dalam perlawanan Sumbangsih) pada Sabtu, semua pihak boleh melihat betapa seriusnya mereka untuk terus mendominasi Liga-M.
“Setelah tewas 0-2 kepada KL City FC pada final Piala Malaysia tahun lalu, mereka dilihat tidak berlengah untuk terus membuat persiapan pramusim bagi mengharungi saingan musim ini.
“Tak salah untuk saya katakan bahawa JDT adalah satu-satunya pasukan yang telah bersedia sepenuhnya bagi mengharungi saingan Liga-M musim ini,” katanya pada Ahad.
Dalam perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu lalu, JDT ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila mudah membenam KL City 3-0.
Satu gol masing-masing sumbangan Muhamad Nazmi Faiz Mansor, Fernando Forestieri dan Afiq Fazail sudah cukup mengesahkan Piala Sultan Haji Ahmad Shah kekal milik JDT.
Barisan pemain dan pegawai JDT meraikan kejayaan menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.
Untuk rekod, ia merupakan kejuaraan ketujuh dan kelima berturut-turut diraih JDT dalam perlawanan Sumbangsih yang menjadi pembuka tirai Liga-M.
“Bagi saya, persiapan JDT untuk musim ini jauh lebih rapi kerana saya tahu mereka mahu bersedia secukupnya kerana selain Liga-M, mereka juga bakal beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL).
“Sebab itulah mereka perlu memiliki pasukan yang besar selain turut memiliki pemain-pemain yang berkualiti bagi memastikan persediaan yang dilakukan benar-benar rapi dan mantap,” jelasnya.
Dalam pada itu, Azlan tidak menolak kemungkinan skuad kendalian Benjamin Mora itu akan terus mendominasi Liga-M bersandarkan keupayaan barisan pemain sedia ada.
“Memang jelas JDT merupakan satu-satunya pasukan benar-benar bersedia, bukan sahaja bagi mengharungi saingan Liga-M, tetapi juga ACL nanti.
“Kepada pasukan lain, diharap bersedia untuk menerima kejutan JDT di tempat anda. Bersedialah berkunjung ke JDT untuk menerima kejutan yang lebih besar,” ujarnya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram