POLIS menyiasat insiden rusuhan yang berlaku sejurus tamat perlawanan bola sepak Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asistan Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian berlaku kira-kira 11.15 malam di luar stadium selepas sekumpulan kecil penyokong mula mengejek antara satu sama lain.
"Terdapat kira-kira 20 hingga 30 individu terlibat.
"Polis dan marsyal stadium berjaya mengawal keadaan tanpa sebarang kejadian tidak diingini," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, polis ingin mengingatkan semua penyokong agar tidak bersikap fanatik dan sentiasa berkelakuan baik di dalam mahu pun luar stadium.
"Kami sedang memburu individu yang terlibat dalam kejadian itu.
"Kami juga ingin mengingatkan orang ramai di luar sana supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh membawa kepada keresahan orang ramai," menurutnya lagi.
Dalam perlawanan itu, Johor Darul Ta'zim (JDT) membenam KL City FC 3-0 hasil jaringan Nadzmi Faiz, Fernando Forestieri dan Afiq Fazail.
Insiden berkenaan turut tular di media sosial. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram