'2x5 saja mereka ni, satu cekik darah, satu lagi auta memanjang'


NETIZEN berkata, persengketaan yang berlaku antara Hamidin (kiri) dan Teong Kim bersifat peribadi.

KRITIKAN demi kritikan sudah dilontarkan bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari, Lim Teong Kim terhadap cara kepimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Malah FAM juga tampil mempertahankan setiap kritikan yang disampaikan bekas jurulatih Bayern Munich itu.

Dari isu gaji, isu pengalaman, lesen, pemain import dan situasi semasa bola sepak Malaysia, semuanya sudah disentuh kedua-dua pihak.

Boleh dikatakan penyokong dan peminat sudah mula 'muak' dengan persengketaan yang tidak berkesudahan ini.

Penyokong mahu Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin meletak jawatan tetapi beliau sudah meminta lebih masa untuk membuktikan kemampuannya.

Ada juga peminat menggesa agar FAM melantik Teong Kim menggantikan Hamidin bagi menunjukkan beliau layak dengan kritikan yang sering dilemparnya.

Tetapi bagi seorang peminat bola sepak, Audy Aufa dalam komennya di media sosial, berkata, pertelingkahan yang berlaku antara Teong Kim dan Hamidin mungkin bersifat peribadi.

Jelasnya, isu-isu yang berlaku dalam FAM seperti prestasi semasa Harimau Malaya dijadikan sebagai bahan 'perperangan'.

"Mereka ini ibarat dubuk di depan bangkai. Walaupun spesies sejenis, di depan bangkai bercakaran juga.

"Sengketa mereka ini nampak sangat puncanya bila kontrak Teong Kim tidak dilanjutkan, dia mula meroyan.

"Walaupun pengalamannya melatih harus dipuji, tetapi ada juga silapnya. Bercakap macam sayang bola sepak Malaysia.

"Tapi minta gaji mengalahkan Firaun," tulisnya.

Namun kata Audy, Teong Kim berani meminta gaji sedemikian kerana dia tahu FAM mampu membayarnya.

"Dia tahu bajet FAM mampu membayar dan tidak malu nak gaji begitu.

"Sebab kalau tidak duit FAM itu akan lesap juga ke poket keplokrat lain dalam FAM.

"2X5 je mereka. Cuma bagusnya dengan Teong Kim, walaupun harga cekik darah, tapi dia bekerja.

"Berbeza dengan spesies sebelah, auta saja memanjang seiring dengan program mereka yang ke laut," katanya.

Audy mengulas tentang kenyataan Exco FAM, Datuk Hisamudin Yahaya yang menepis dakwaan yang kononnya barisan exco sekadar menjadi 'pak turut' kepada Hamidin.

Sebaliknya, Hisamudin menjelaskan bahawa Hamidin merupakan seorang presiden yang sentiasa mengamalkan pendekatan untuk berbincang dengan exco.

Oleh itu katanya, kritikan pedas yang dilontarkan Teong Kim tidak bermaksud dia sentiasa sentiasa betul. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram