'Gantung saja kelab yang perlekeh isu gaji'


  • Podium
  • Rabu, 05 Jan 2022

TUNGGAKAN gaji hanya akan menjejaskan prestasi para pemain. — Gambar hiasan/ Facebook FAM

ISU tunggakan gaji bukan benda baharu dalam arena bola sepak tempatan dan masih menjadi 'barah' kepada kemajuan atau perkembangan sukan tersebut.

Tahun lalu, Perak FC dan Sarawak United antara dua kelab yang terpalit dengan isu tunggakan gaji.

Perak dikatakan gagal menjelaskan tunggakan gaji selama tiga bulan kepada para pemain sehingga menyebabkan tonggak utama kelab itu, Shahrul Saad terpaksa mengangkat kaki ke pasukan gergasi selatan tanah air iaitu Johor Darul Takzim (JDT).

Sarawak United pula diheret ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) oleh bekas kapten pasukannya, Taylor Regan selepas pemain Australia itu mendakwa pihak pengurusan kelab tersebut gagal melunaskan tunggakan gaji selama empat hingga lima bulan.

Susulan itu, Regan bertindak menamatkan baki kontraknya selama 12 bulan bersama pasukan berkenaan.

Ujar penganalisis bola sepak tempatan, Dr Pekan Ramli, situasi tersebut wajar dipandang serius oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL).

"Malaysia antara dua negara teratas yang memiliki jumlah hutang tunggakan gaji pemain paling banyak selepas Turki sehinggakan negara itu terpaksa dibantu pembayaran hutang pemain oleh FIFA.

"Gantung sahaja pasukan yang masih lagi memandang remeh atau ringan isu ini.

"Biar tidak banyak pasukan atau kelab yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M) tetapi tiada lagi isu kemanusiaan yang diperlekehkan begini," katanya kepada Majoriti.

Shahrul Saad 1

SHAHRUL (kiri) terpaksa berpindah ke JDT susulan isu tunggakan gaji di Perak. — The Star

Tambah Pekan, sesebuah pasukan atau kelab bola sepak yang beraksi dalam liga profesional perlu diuruskan seperti sebuah syarikat perniagaan.

"Sudah tersedia bajet tahunan terutama dari segi gaji dan emolumen pemain. Ini sangat penting sebagai sekuriti kepada pemain.

"Jika bayaran gaji dibayar mengikut jadual, sudah pasti prestasi pemain tidak terjejas malahan akan meningkat andai ditambah dengan insentif bonus kemenangan bagi setiap perlawanan.

"Tiada alasan untuk pemain bermain buruk dan fokus mereka terjejas memikirkan tentang sara hidup terutamanya kepada mereka yang mempunyai isteri serta anak atau pelbagai tanggungan lain.

"Fenomena ini juga boleh mengundang pelbagai pemasalahan sosial lain termasuk masalah rumah tangga dan turut menjurus kepada pembabitan pemain dengan 'bookie'," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram