Pan-gon optimis Harimau Malaya cemerlang, gemilang dan terbilang di Piala Asia


  • Podium
  • Jumaat, 25 Feb 2022

PAN-GON berharap para penyokong menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk memberi sokongan kepada Harimau Malaya. — AZLINA ABDULLAH/The Star

PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon optimis beliau mampu membawa Malaysia ke pusingan Akhir Piala Asia di China tahun depan.

Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh dalam aksi kelayakan Piala Asia yang akan berlangsung Jun ini.

Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah perlawanan Kumpulan E dengan skuad Harimau Malaya akan memulakan kempen menentang Turkmenistan pada 8 Jun.

Malaysia kini berada di ranking ke-154 manakala Turkmenistan berada di kedudukan ke-134 dunia.

Seterusnya, Malaysia akan menghadapi saingan pencabar yang dianggap paling sukar dalam kumpulan E iaitu Bahrain yang berada di ke-89 dunia sebelum berdepan Bangladesh, yang menduduki ranking ke-186 dunia.

Juara kumpulan dan lima pasukan terbaik yang menduduki tangga kedua akan mengesahkan tempat mereka ke kejohanan Piala Asia di China.

Kejohanan di China itu akan menyaksikan 24 negara mengambil bahagian termasuk juara bertahan, Qatar.

Ia akan menjadi ujian besar pertama untuk bekas pengarah pasukan Persatuan Bola Sepak Korea (KFA), Pan-gon, yang mengambil alih jawatan skuad Harimau Malaya daripada Tan Cheng Hoe bulan lalu.

Menurutnya, pemain negara seharusnya mendapat motivasi yang tinggi selepas Malaysia diundi menjadi tuan rumah.

“Sejujurnya, ia bukan undian yang hebat tetapi ia boleh menjadi lebih sukar.

“Perlawanan menentang Turkmenistan akan menjadi sangat penting, jadi kami harus mendapatkan mata penuh. Kami tiada alasan untuk kalah kepada Bangladesh. Kami menyasarkan tujuh mata untuk berada dalam kedudukan layak (ke Piala Asia).

“Ia akan menjadi perjalanan yang sukar tetapi kami boleh menyahut cabaran untuk ke pusingan akhir. Kami menagih sokongan peminat tempatan.

“Cuaca, keadaan semasa dan stadium... kita mempunyai kelebihan dari segi semua itu, kami akan gunakannya untuk cuba layak ke pusingan akhir,” kata jurulatih dari Korea Selatan itu mengenai peluang Malaysia selepas undian pada Khamis.

Malaysia tidak pernah menentang Turkmenistan sebelum ini, tetapi skuad negara mempunyai rekod yang baik menentang Bangladesh.

Malaysia menang tujuh daripada 10 pertemuan dengan Bangladesh dan hanya kalah sekali – pada kejohanan Sukan Asia 1982.

Malaysia pernah bertemu Bahrain sebanyak 14 kali tetapi hanya menang dua kali dan seri sebanyak lima kali.

Kali terakhir Harimau Malaya bertemu Bahrain adalah dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada Mei tahun lalu yang menyaksikan Malaysia tewas 0-2.

Sebanyak 13 pasukan, termasuk tuan rumah China, telah layak ke Piala Asia setakat ini.

Negara-negara yang telah mengesahkan tempat dalam Piala Asia 2023 adalah Australia, Iran, Jepun, Korea Selatan, Qatar, Arab Saudi, Syria, Emiriah Arab Bersatu, Iraq, Lubnan, Oman dan Vietnam. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram