BEKAS pemain Swansea ini pernah menjadi buruan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada jendela perpindahan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2022.
Namun, khabar angin berhubung perpindahan itu terus sepi selepas JDT mendapatkan khidmat Carli De Murga.
Bagaimanapun, spekulasi tentang kehadiran pemain import baharu itu ke selatan tanah air itu kembali hangat diperkatakan apabila pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuatnaik status berkenaan sasaran kelab itu.
"Ada seorang lagi pemain import dari Sepanyol yang memiliki pasport Asean bakal bersama JDT pada musim perpindahan Jun ini," tulis baginda.
Coretan Tunku Ismail itu kemudiannya dikongsikan oleh laman Facebook kelab penyokong, JOHORean Sport Team yang mengulas bahawa berkemungkinan Jordi Amat yang dimaksudkan oleh baginda untuk ke JDT.
Amat merupakan antara watak penting sewaktu Swansea 'menggegarkan' Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim 2013.
Tahun lalu, Amat menyatakan niat untuk bermain bersama Indonesia kerana mempunyai pertalian darah dari negara berkenaan.
"Nenek saya dilahirkan di Makassar, Sulawesi Selatan dan merupakan individu penting yang menyokong saya dalam karier bola sepak saya setakat ini.
"Moyang saya berasal dari Siau, Sulawesi Utara. Beliau merupakan Manalag Doelag Kansil atau dikenali sebagai MD Kansil.
"MD Kansil merupakan Raja Siau yang memerintah dari 1895 hingga 1909.
"Sejak kecil, nenek saya pernah bercerita tentang moyang saya yang merupakan Raja Siau ke-17 dan kisah-kisah ini membangkitkan rasa ingin tahu saya tentang Indonesia," ujarnya.
Amat dilahirkan di Canet de Mar, Barcelona, Sepanyol. Dia beraksi bersama pasukan kebangsaan Sepanyol di semua peringkat umur bermula Bawah 16 (B-16) hingga B-21.
Malangnya Amat gagal mendapat menarik perhatian jurulatih pasukan senior Sepanyol sehingga kini selain terpaksa bersaing dengan beberapa nama besar seperti Sergio Ramos, Gerard Pique, Carles Puyol dan Jordi Alba.
Pengalamannya beraksi di EPL dan Liga Sepanyol menjadikan Amat sebagai salah seorang pemain naturalisasi terbaik dimiliki oleh Indonesia.
"Kami sekeluarga masih berhubung dengan keluarga nenek saya di Indonesia, walaupun saya sendiri tidak berkesempatan seperti nenek untuk melawat mereka di sana kerana sibuk menjalani kehidupan pemain bola sepak selain urusan keluarga yang memerlukan perhatian saya di Sepanyol.
'Namun, saya masih mempunyai impian untuk tiba di Ulu Siau suatu hari nanti dan meluangkan masa bersama keluarga besar di sana," ujarnya dalam satu temubual bersama portal sukan antarabangsa tahun lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram