Jangan pandang sebelah mata barisan permulaan Perak FC — CEO


  • Podium
  • Jumaat, 25 Feb 2022

PERAK FC mengekalkan lesen untuk menyertai Liga-M dan diberi kebenaran menurunkan hanya pemain-pemain asal yang telah diluluskan sebelum ini. — Facebook Perak FC

PERAK FC mengesahkan barisan pemain utamanya, sekali gus menetapkan kedudukan kelab itu sebagai satu daripada pencabar dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakaria berkata, penyertaan Perak FC adalah sebahagian daripada komitmen kelab ke arah transformasi menyeluruh dan pembaharuan di bawah pengurusan baharu, Impact Media and Communication (IMC).

"Menurunkan 20 pemain untuk Liga-M yang akan berlangsung pada 5 Mac, penyertaan Perak FC memastikan pemain telah berdaftar masih boleh bertanding meskipun menghadapi sekatan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk pengambilan pemain baharu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, penyertaan The Bos Gaurus adalah sejajar dengan proses transformasi untuk mempertingkatkan prestasinya, dengan sasaran utama untuk menjadikan Perak FC salah sebuah kelab yang stabil dan berjaya di Malaysia dalam masa terdekat.

Menurutnya, barisan hadapan skuad itu menampilkan pemain-pemain berpotensi seperti Royizzat Daud, Khairul Syaiq dan penyerang, Alif Zikri.

"Jika diizinkan, kami ingin menurunkan susunan yang lebih kompetitif kerana kami percaya ia akan memberikan kami kelebihan dalam Liga-M ini. Barisan permulaan kami ini tidak boleh dipandang sebelah mata kerana kami memang bersemangat untuk bertanding.

"Kami telah mempunyai rancangan untuk mendaftarkan jadual penuh pemain semasa tempoh perpindahan dibuka dalam bulan Mei," katanya.

Sekatan dikenakan ke atas Perak FC daripada mendaftar sebarang pemain baharu, sama ada dari dalam negara atau antarabangsa, atau meminjam sebarang pemain sehingga proses menyelesaikan tunggakan hutang gaji pemain lama selesai.

Perak FC mengekalkan lesen untuk menyertai Liga-M dan diberi kebenaran menurunkan hanya pemain-pemain asal yang telah diluluskan sebelum ini.

"Kami komited untuk menyelesaikan semua isu-isu tertangguh dan juga semua tunggakan, kerana perkara ini penting untuk memastikan semua pemain boleh beraksi dan bertanding untuk Perak FC tanpa sebarang kegusaran,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Yunus berkata, Perak FC di bawah pengurusan IMC sedang melalui proses pengukuhan struktur untuk memastikan tadbir urus yang baik dan profesional diamalkan, selain mahu melihat Perak FC mengembalikan kegemilangannya pada masa depan.

Perak FC bakal bersaing dengan sembilan pasukan lain dalam Liga Premier iaitu Johor Darul Ta'zim II, Skuad Projek FAM-MSN, Kelantan, Kelantan United, Kuching City, PDRM, Selangor FC II, Terengganu FC II, dan UiTM FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram