IMC tunggu dana penaja pulihkan Perak FC


  • Massa
  • Rabu, 23 Feb 2022

PERAK gagal mendaftar pemain baharu susulan tunggakan isu gaji pemain import. — Gambar hiasan/Facebook Perak FC

KEMELUT melanda Perak FC dilihat meruncing menjelang musim baharu Liga Malaysia (Liga-M).

Perak FC dilaporkan tidak boleh mendaftar pemain baharu kerana masih lagi dikenakan sekatan perpindahan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ketika jendela perpindahan berakhir pada Selasa.

Difahamkan, pihak pengurusan pasukan berkenaan masih belum melunaskan hutang sebanyak RM1.7 juta membabitkan tunggakan gaji Jeon Hyo-seok, Leandro, Careca dan ejen.

Terdahulu, Perak FC juga tidak menyertai saingan Piala Belia 2022 dan kelab berkenaan turut tidak menghantar pasukan untuk Piala Presiden kerana gagal melengkapkan pendaftaran pemain hingga tarikh akhir pada 18 Februari lalu.

Wakil penyokong Perak FC dari Seladang Fan Club (SFC) yang hanya dikenali sebagai Razmi meletakkan harapan agar kemelut yang melanda pasukan berkenaan dapat diselesaikan.

Katanya, hasil perbincangan dengan salah seorang Lembaga Pengarah (BOD) Perak FC, Khairul Effendi, pihaknya difahamkan bahawa Impact Media Communication (IMC) dan kelab menunggu suntikan dana dari penaja.

Jelasnya, siasatan dalaman telah dijalankan sebelum pengambilalihan tetapi ada tuntutan hutang daripada beberapa individu yang tidak disenaraikan di peringkat awal dan kini timbul menjadi segala punca masalah.

"Kami juga dimaklumkan IMC dan BOD Perak FC mempunyai perancangan rapi untuk pasukan tahun ini termasuk kewangan sepanjang musim.

"Harapan penyokong agar IMC berusaha memulihkan Perak FC secepat mungkin.

"Hutang dapat diselesaikan, pemain baharu dapat beraksi, pasukan Piala Presiden dan Piala Belia turut diberi 'oksigen' agar terus bermain dan semangat untuk musim akan datang serta memberi informasi lebih kerap untuk memberi keyakinan kepada penyokong.

"Penyokong tidak akan berganjak walau seinci daripada memberi sokongan kepada Perak FC," katanya.

Pada November 2021, IMC diumumkan sebagai pemilik baharu Perak FC selepas 100 peratus pegangan saham badan induk itu dijual kepada syarikat berkenaan.

IMC turut berjanji untuk melunaskan tunggakan gaji para pemain pasukan itu sejurus mengambil alih pasukan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram