MESKIPUN baru saja beberapa bulan David Rowley meninggalkan utara tanah air untuk bertukar angin ke Pantai Timur bersama kelab baharunya, Sri Pahang FC, ternyata ada perkara menarik yang mencuit hatinya sepanjang tinggal di Kedah dan Pulau Pinang.
Selama dua musim beraksi di utara tanah air, pastinya banyak kenangan indah yang ditimba pemain kelahiran Australia itu dengan skuad Kenari.
Bukan sahaja pencapaian dalam dunia bola sepak, tetapi pengalaman untuk menyerap budaya Malaysia terutama di negeri yang mempunyai warisan tersendiri pasti menjadi cabaran dan kenangan buat David.
Menerusi satu wawancara secara maya baru-baru ini, David menceritakan serba sedikit pengalaman yang dilaluinya bersama beberapa kelab berbeza di Liga Malaysia (Liga M).
Pemain berusia 32 tahun itu berkata, dia berasa bertuah kerana dapat mengembara serta mempelajari sesuatu bermula di Negeri Sembilan kemudian ke Kelantan, Kedah dan terkini Pahang.
"Di sana (Kelantan), saya berpeluang merasai nasi kerabu iaitu lebih dikenali nasi pada hari Rabu dan laksam serta budaya tarian dan tidak boleh dilupakan penyokong-penyokong di sana yang ramah.
"Kemdian saya pindah ke Kedah, tempat yang indah dan di luar Alor Setar, kita boleh jumpa banyak gunung yang boleh didaki.
"Selepas itu, Pulau Pinang iaitu George Town, begitu tradisional dan kafe yang menarik," katanya.
Sepanjang lebih empat tahun di Malaysia, David sudah mahir bertutur dalam Bahasa Melayu walaupun berdepan kesukaran untuk memahami loghat tertentu sesetengah negeri.
"Saya sudah boleh bercakap dengan baik Bahasa Melayu tetapi tidak pandai bercakap balik terutamanya apabila ada kawan-kawan menggunakan loghat seperti Kelantan namun yang asasnya saya boleh bercakap serba sedikit.
"Macam di Kedah ada perkataan bunyinya nyioq (kelapa), tidoq (tidur), Aloq Staq (Alor Setar), semuanya nyata berbeza," katanya mengingati tiga perkataan loghat kedah itu.
Sepanjang dua musim bersama Kedah, David merasai kejuaraan merangkul Piala FA pada musim 2018/2019.
Ditanya sama ada David mahu kekal tinggal di Malaysia selepas bersara, dia tidak menolak kemungkinan itu.
"Sudah tentu saya mahu tinggal di sini jika berpeluang tapi belum tentu lagi soal masa depan, sudah tentu (saya mahu) jika dapat tinggal di Malaysia," katanya tanpa menjelaskan negeri mana yang menjadi lokasi tempat tinggalnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram