Penyokong KDA FC, JDT 'berperang' isu tajaan


PASUKAN JDT memperoleh kerjasama dengan Malaysia Airlines manakala KDA FC pernah mendapat tajaan Firefly sebelum ini. — Facebook

KELAB Bolasepak Johor Darul Takzim (JDT) dan pasukan Kedah Darul Aman (KDA FC) dilihat sentiasa menyaingi antara satu sama lain sama ada di atas mahupun di luar padang.

Siri ‘banter’ atau hiburan antara kedua-dua kelab tersebut bermula daripada dua individu berpengaruh pasukan tersebut iaitu Presiden KDA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta pemilik JDT, Tunku Makhota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tunku Ismail dan Sanusi masing-masing 'berperang' menerusi laman media sosial bermula daripada sebelum aksi suku akhir pertama di Stadium Darul Aman tahun lalu sehinggalah ke hari ini.

Malah penyokong pasukan masing-masing dilihat ikut sama 'bakar line' selepas saling mengusik antara satu sama lain.

Selepas KDA FC mengumumkan akan membina stadium bola sepak baharu setaraf stadium milik JDT, skuad Harimau Selatan pula mengumumkan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Malaysia Airlines.

Dengan kerjasama yang terjalin itu, Malaysia Airlines akan menjadi rakan penerbangan eksklusif untuk Harimau Selatan yang akan menerbangkan pasukan ke perlawanan di seluruh Malaysia dan ketika JDT mewakili negara dalam kejohanan antarabangsa.

Seorang penyokong bola sepak tempatan, Mohd Ridzwan Muhamad menerusi group Facebook Penyokong Bolasepak Kedah Darul Aman (PBKDA) berkata, skuad Lang Merah terlebih dahulu sudah merasa mendapat tajaan daripada syarikat penerbangan iaitu syarikat Firefly sebelum ini.

kdh fans

TANGKAP layar hantaran Mohd Ridzwan di Facebook PBKDA.

"Kita dulu kat (badan) kapal terbang Firefly siap ada cop bola sepak Kedah Darul Aman, tak riak pun, tak bongkak pun, relaks saja.

"Tiada pun nak mengata team orang lain miskin la, daif la, lemah la. Kita ni dulu dan selamanya diam-diam berisi tunduk ke bumi, tenaaaang saja hormat semua orang.

"Ni Malaysia Airlines taja, riuh satu Malaysia, nak membongkak tak sudah-sudah. Aduhaii...," tulisnya di Facebook PBKDA pada Ahad yang kemudian dikongsi di Facebook JDT Southern Tiger Club.

Hantaran itu dibalas seorang pengguna Facebook, Dahlan Simin yang berkata, semua pasukan di negara ini ada penaja masing-masing, justeru ia bukan satu perkara yang perlu dicemburui.

jdt fans

TANGKAP layar komen balas Dahlan terhadap hantaran status Mohd Ridzwan di Facebook PBKDA.

"Apa yang nak marah-marah, semua team ada penaja, kalau JDT boleh bermegah dengan penaja-penaja dia, team lain pun boleh juga.

"Ha....beritahulah satu Malaysia siapa penaja-penaja Kedah, mungkin JDT pulak yang cemburu melihatnya.....," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram