DI SEBALIK kemelut tunggakan gaji Taylor Regan dan khabar angin tentang pelantikan E Elavarasan sebagai penolong jurulatih kebangsaan, Sarawak United kian rancak memeterai perjanjian mendapatkan pemain import baharu.
Sarawak United menandatangani Francis Kone, Boris Kok dan mengekalkan khidmat Uche Agba serta Lee Chang-hoon.
Tidak terhenti di situ, Sarawak United pada Rabu sah mendapatkan bekas pertahanan PKNS dari Argentina iaitu Gonzalo Soto.
Perpindahan Soto kali ini ke Malaysia membuktikan cintanya yang utuh terhadap negara ini.
Sebelum ini, PKNS menamatkan kontrak Soto lebih awal kerana pemain berkenaan dirundung kecederaan pada musim 2017.
Soto pernah menjadi buruan kelab Indonesia, Persib Bandung pada musim 2018 namun dia menolak tawaran tersebut dan lebih berminat menunggu tawaran daripada pasukan Liga Malaysia (Liga-M).
"Tawaran Persib itu agak menarik kerana saya bakal dilatih oleh bekas ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Mario Gomez.
"Kehebatannya terbukti apabila menghasilkan beberapa kejayaan bersama JDT.
"Malahan saya mempunyai peluang beraksi bersama pemain bertaraf legenda seperti Michael Essien yang berpengalaman bermain di kelab besar seperti Real Madrid, AC Milan dan Chelsea.
"Namun hati saya masih di Malaysia. Saya mengetepikan dahulu memberi jawapan kepada Persib.
"Kalau misi mencari kelab di Malaysia gagal, mungkin saya akan bermain dengan Persib," ujarnya dalam satu temubual bersama media tempatan pada 2017.
Soto bagaimanapun berkelana ke Colombia untuk beraksi bersama Técnico Universitario pada musim 2018.
Selepas itu, Soto kembali ke Argentina untuk bermain bersama kelab Chacarita Juniors.
Hanya semusim bersama Chacarita, pemain tersebut bermain di Eropah buat kali pertama bersama kelab Switzerland, AC Bellinzona.
Beberapa musim di Switzerland, Soto akhirnya membuktikan cintanya terhadap Malaysia kekal utuh di hatinya apabila sah menyarung jersi Sarawak United musim 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram