Campak lilitan, Maguire bukti kemampuan sebagai kapten?


  • Podium
  • Selasa, 22 Feb 2022

MAGUIRE berjaya menutup seketika kritikan terhadapnya selepas membantu Man United menang ke atas Leeds pada Ahad. — Reuters

KEDUDUKAN Harry Maguire sebagai kapten Manchester United rancak diperkatakan sebelum pertemuan dengan Leeds United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad lalu.

Rata-rata peminat mahu lilitan kapten diberikan kepada pemain lebih layak seperti Bruno Fernandes atau Cristiano Ronaldo.

Sejurus kemenangan penuh beremosi 4-2 di Elland Road, Maguire mencampakkan lilitan kapten itu kepada para penyokong Man United ketika berjalan keluar ke bilik persalinan.

Maguire juga memberikan jersinya kepada para peminat, diikuti rakan sepasukan lain seperti Luke Shaw, Jadon Sancho dan Scott McTominay.

Ia merupakan detik hubungan antara pemain dan penyokong selepas kemenangan Man United dicapai selepas suasana di kelab itu sedikit suram sepanjang minggu berkenaan.

Persoalan tentang lilitan kapten itu akan berlarutan sehinggalah Man United meraih trofi kembali tetapi stadium Elland Road menjadi saksi kebangkitan beberapa pemain yang menunjukkan komitmen tinggi.

Kritikan boleh ditujukan kepada Man United kerana membenarkan Leeds menyamakan kedudukan selepas mendahului dengan kelebihan dua jaringan ketika separuh masa pertama.

Situasi menghantui Man United pada bulan lalu sewaktu seri menentang Aston Villa hampir berulang pada Ahad namun berjaya diatasi oleh pemain Red Devils.

Para pemain Man United tidak berputus asa dalam berdepan 'ancaman' para penyokong tuan rumah. Malahan salah seorang kakitangan kejurulatihan Man United turut dilontar dengan syiling ketika meraikan gol.

Kemenangan itu turut 'membantu' Maguire mengukuhkan statusnya. Jaringan yang diperoleh ketika menentang Leeds merupakan waktu yang tepat sebagai respon kepada perdebatan tentang peranannya sebagai kapten Man United.

Sebelum ini, terdapat dakwaan mengatakan pemain Man United berpecah kepada beberapa kumpulan dan ada juga tidak suka dengan kehadiran Cristiano Ronaldo di kelab tersebut.

Namun menurut pengurus interim Man United, Ralf Rangnick, kemenangan itu merupakan jawapan kepada beberapa laporan pada minggu lalu berhubung perpecahan dalam bilik persalinan.

"Cara kami mencapai kemenangan ini akan memberikan tenaga baharu kepada kami," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram