PENYOKONG Harimau Kumbang pastinya teruja dengan kehadiran penyerang import baharu, Hilal El-Helwe ke Penang FC seperti yang dikongsikan Facebook penyokong Penang Brotherhood.
Pemain berusia 27 tahun itu memiliki pengalaman bermain selama lima tahun di Jerman untuk TSV Havelse, VfL Wolfsburg II, dan Hallescher FC, sebelum berpindah ke Greece pada 2018 untuk bersama Apollon Smyrnis.
Kemudian pada 2019 dia kembali ke Jerman, menandatangani kontrak dengan SV Meppen, sebelum berpindah ke Timur Tengah pada 2021, menyertai Al-Faisaly di Jordan kemudian Ahed di Lebanon.
Sepanjang beraksi di Jerman, Hilal disifatkan sebagai penyerang berkualiti dalam kalangan jurulatih dan pengurus pasukan disebabkan bakatnya sebagai penyerang yang serba boleh sama ada bermain di bahagian tengah dan juga sebagai pemain sayap di kedua-dua sayap.
Sebagai contoh, Pengarah Sukan SV Meppen, Heiner Beckmann seperti dilaporkan portal liga3-online.de pernah menyifatkan Hilal sebagai pemain yang impian setiap kelab.
Beckmann mengakui beliau sudah lama meminati bakat Hilal sejak beraksi di Jerman tetapi terpaksa mengalah apabila pemain itu memilih Wolfsburg pada 2015.
Bagi jurulatih SV Meppen, Christian Neidhart, Hilal mempunyai kekuatan fizikal, pantas dan versatil dalam serangan.
Namun Hilal tidak terlepas daripada momen 'hitam' apabila pernah dibuang padang kerana menyiku bek lawan sehingga patah rahang.
Insiden itu berlaku dalam perlawanan ketika Hilal beraksi bersama Wolfsburg pada 2016, menentang VfB.
Hilal menerima kad kuning kedua apabila didapati menyiku bek VfB, Franko Uzelac yang kemudiannya disahkan mengalami patah tulang rahang.
Sebagai penyerang berpengalaman, Hilal sudah beraksi dalam 217 perlawan dengan menyumbangkan 47 gol serta 28 bantuan gol.
Bagi aksi bersama skuad kebangsaan, Hilal sudah membuat 30 penampilan bersama Lebanon dan menyumbang sembilan gol.
Antara gol terbaiknya yang dikenal peminat adalah ketika menundukkan Djibouti 1-0 menerusi sepakan voli padu dalam perlawanan play-off kumpulan D untuk kelayakan Piala Negara-Negara Arab 2021.
Golnya itu membuatkan pengulas Arab naik 'sheikh' sehingga tidak cukup nafas memuji jaringan Hilal.
Dengan usia yang masih muda, Hilal pastinya menjadi prospek terbaik buat Penang FC yang kehilangan ramai pemain berhijrah ke kelab lain pada jendela perpindahan lalu.
Penghuni tangga ketiga Liga Super musim 2021 itu sebelum ini mengucapkan selamat tinggal kepada lebih 15 pemain skuad utama tetapi berjaya mendapatkan pengganti yang sesuai termasuk Tam Sheang Tsung dari KDA FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram