Ramon Marcote jawab misteri tanda 'like'


  • Podium
  • Sabtu, 19 Feb 2022

RAMON mengakui beliau sentiasa terfikir untuk kembali ke Malaysia. — Facebook

TEKA-TEKI sama ada bekas pengurus Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ramon Marcote akan kembali ke kancah Liga Malaysia akhirnya terjawab.

Ramon dijangka dilepaskan skuad remaja Bawah 15 tahun, Al-Hilal apabila kontraknya tamat pada Mei 2022.

Pengurus berusia 44 tahun itu cemerlang mengemudi Al-Hilal dari segi pembangunan pemain kelab itu yang menjuara Liga Arab Saudi pada musim lepas.

Spekulasi tercetus apabila beliau dilihat memberikan tanda ‘like’ kepada satu posting mengenai ‘penghijrahannya’ di akaun Twitter, Malayantigerfans.

Mengulas tentang perkara itu, Ramon mengakui beliau sentiasa terfikir untuk kembali ke Malaysia.

"Sentiasa dalam fikiran saya untuk kembali ke Malaysia.

"Kita tunggu sama ada ini akan menjadi kenyataan," katanya kepada Majoriti.

Beliau menjawab persoalan sama ada mempunyai perancangan untuk kembali ke negara ini.

Ditanya tentang posisi Pengarah Teknikal di KDA FC, Ramon memberi jawapan yang pastinya membuatkan penyokong Hijau Kuning teruja.

"Saya masih belum terima apa-apa tawaran rasmi lagi," jawabnya ringkas.

Jawapannya itu sekali gus menunjukkan kesediaan Ramon untuk berbakti semua kepada Sang Kenari jika KDA FC serius mahu mendapatkan khidmatnya.

Posisi Pengarah Teknikal KDA FC setakat ini masih kosong selepas ditinggalkan Radhi Mat Din, tetapi difahamkan bekas jurulatih Kedah, Mosthakeen Omar akan mengisi kerusi tersebut.

Ini selepas Ketua Pegawai Eksekutif, Kedah Darul Aman FC, Khamal Idris Ali nafikan pelantikan bekas jurulatih kebangsaan yang juga bekas pengurus Kedah, Tan Cheng Hoe sebagai Pengarah Teknikal.

Ramon pernah berkhidmat bersama Cheng Hoe ketika membimbing Kedah sebagai jurulatih kecergasan pada tahun 2015.

Malah Cheng Hoe pernah memberi kepercayaan kepada Ramon untuk memangku posisi ketua jurulatih skuad Hijau Kuning semasa beliau menyertai kursus kejurulatihan profesional bersama Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Pada penghujung tahun 2017, Marcote secara rasminya dilantik menjadi ketua jurulatih Kedah yang kini dikenali sebagai Kedah Darul Aman selepas Cheng Hoe dipanggil untuk membimbing skuad Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram