Empat perkara positif aksi pramusim KDA FC


  • Podium
  • Isnin, 21 Feb 2022

KDA FC menjuarai Piala SMJ pada 18 Februari lalu. — KDA FC

KURANG sebulan lagi saingan Liga Super bakal membuka tirainya dan sejak bulan lalu, pasukan-pasukan yang bertanding sibuk menganjurkan aksi pramusim bagi membuat persediaan menghadapi saingan liga.

Naib juara musim lalu, Kedah Darul Aman (KDA) FC tidak terkecuali apabila turun beraksi dalam 10 perlawanan persahabatan termasuk empat perlawanan dalam kejohanan Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dimenanginya.

Daripada kesemua perlawanan tersebut, Lang Merah mencatatkan kemenangan dalam lapan perlawanan dan hanya mengalami satu kekalahan.

Jika diukur berdasarkan aksi pra-musim, anak buah pengendali Sang Kenari, Aidil Shahrin dijangka akan terus menjadi pencabar utama penyandang juara, Johor Darul Takzim (JDT) dalam saingan liga musim ini.

Walaupun masih terlalu awal untuk menilai kekuatan sebenar pasukan, beberapa perkara positif dapat dilihat berdasarkan aksi pra-musim.

Jeneral baharu bahagian tengah

Perkara yang palling jelas adalah kawasan tengah yang nampak lebih kemas dan tersusun dengan kehadiran ‘jeneral’ baharu, Dechi Marcel.

Beliau membuktikan Terengganu FC (TFC) silap apabila melepaskannya ke tangan musuh dengan mempamerkan aksi mantap mengawal kawasan tengah KDA FC, bukan sahaja ketika bertahan malah ketika pasukan melakukan serangan.

Walaupun berbadan kecil, ia tidak menjadi masalah buat pemain yang digelar 'Kante' itu untuk mematahkan serangan pihak lawan dan kehebatannya mengawal tempo permainan boleh dikatakan antara yang terhebat dalam liga.

Kreativiti, visi dan kemampuannya menggerakkan bola ke kawasan ‘final third’ juga merupakan satu elemen yang menjadi perbezaan di bahagian tengah Kedah berbanding musim lalu.

Gaya permainan pantas yang ingin diterapkan Aidil Shahrin sememangnya sesuai dengan kehadiran pemain seperti Marcel yang sentiasa mencari ruang dan peluang melakukan transisi ke kubu lawan.

Barisan pertahanan lebih kemas dan tersusun

Disiplin serta persefahaman yang ditunjukkan barisan pertahanan sepanjang aksi pramusim, terutamanya import baharu, Jang Suk-won dan juga kapten, Rodney Calvin dilihat bakal memperkukuhkan lagi pasukan itu.

Pertahanan Andorra yang hadir dengan reputasi tinggi, Marc Vales yang terlepas aksi Piala SMJ akibat kecederaan juga tidak harus dilupakan.

Jika beliau tidak mempunyai masalah menyesuaikan diri di Liga Malaysia, Aidil pasti pening memikirkan duo yang utama yang akan mengemudi bahagian pertahanan tengah KDA FC.

Musim lalu, KDA FC bolos 28 jaringan dalam 22 aksi liga, jauh ketinggalan di JDT yang hanya bolos sembilan gol, serta pasukan tangga keempat, Terengganu FC (20 gol) dan KL City FC (20 gol) yang menduduki tangga keenam.

Jika persembahan mantap barisan pertahanan diteruskan pada aksi liga musim ini, tidak mustahil Kedah mampu memberi cabaran sengit kepada JDT dalam perebutan trofi Liga Super.

Persembahan mantap anak jati Pulau Pinang

Pada jendela perpindahan kali ini, KDA FC sakan 'membeli-belah' di Pulau Pinang apabila membawa masuk empat pemain Penang FC sekali gus.

Lang Merah menandatangani dua pemain sayap, Al-Hafiz Harun dan Amer Azahar; pertahanan kiri, Azmeer Aris serta pemain tengah, Khairu Azrin Khazali daripada seteru utaranya itu.

Paling mencuri tumpuan pastinya Amer Azahar yang mempamerkan aksi cemerlang dalam perlawanan pramusim.

Kelincahannya mengkucar-kacirkan pertahanan lawan, kawalan bola yang mantap serta kemampuan menggunakan kedua-dua kaki dengan baik akan menjadi aset penting buat KDA FC musim ini.

Peminat juga terpukau dengan aksi mantap yang ditampilkan pemain kelahiran berusia 27 tahun itu dan berharap beliau kekal di Stadium Darul Aman untuk tempoh yang lama.

Kebangkitan Syafiq Ahmad

Walaupun hanya perlawanan pramusim, Syafiq tidak mempersia-siakan peluang apabila diturunkan dengan menampilkan persembahan yang bersungguh-sungguh.

Buktinya, beliau berjaya menjaringkan lima gol dalam perlawanan pramusim, penjaring terbanyak bersama import baharu, Ronald Ngah.

Ternyata beliau tekad mahu merebut peluang beraksi setelah sering memanaskan bangku simpanan selama empat musim di JDT.

Jika terus diberikan peluang, tidak mustahil Syafiq boleh menjadi penyerang yang digeruni semula ketika beliau bersama KDA FC dahulu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram