KETUA jurulatih baharu Harimau Malaya, Kim Pan-Gon menyifatkan pemain negara mempunyai potensi yang tinggi untuk berjaya di peringkat yang tinggi berdasarkan kualiti yang dimiliki.
Namun, menurut jurulatih dari Korea Selatan itu, skuad Harimau Malaya tidak mempunyai mental yang kuat serta tidak yakin dengan diri sendiri apabila bertanding di peringkat tinggi.
"Saya lihat barisan pemain Malaysia mempunyai potensi yang tinggi untuk berjaya tetapi tahap keyakinan mereka rendah.
"Justeru, antara tugas saya adalah untuk membuatkan diri mereka berasa cukup bagus dan percaya bahawa mereka boleh pergi ke tahap yang tinggi, lebih dari Asia.
"Saya boleh membantu para pemain untuk lebih bersatu, membentuk semangat kerjasama yang tinggi serta kuat. Jika mereka mahu belajar dengan betul, saya yakin skuad ini mampu pergi lebih jauh," katanya pada sidang media memperkenalkan barisan kejurulatihan baharu Harimau Malaya pada Khamis.
Tambah Pan-gon, beliau akan menerapkan cara permainan lebih agresif, menyerang dan berani mengambil risiko dalam diri anak buahnya dan berharap mereka menunjukkan sikap mahu belajar.
Dalam sidang media itu, Pan-gon turut memperkenalkan empat individu yang bakal membantunya iaitu penolong jurulatih, Pau Marti Vicente, Cho Jun Ho (jurulatih penjaga gol), Dr Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (penganalisis).
Pan-gon secara rasminya diperkenalkan buat kali pertama kepada umum dalam satu sidang media di Wisma FAM di Petaling Jaya, Selangor pada Khamis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram