Pesanan bekas kapten untuk penyokong Perak


  • Podium
  • Isnin, 14 Feb 2022

PEMAIN berusia 28 tahun itu mula menyertai pasukan Perak pada 2016 dan berpindah ke Penang FC pada 2021. — Perak FC

BEKAS ketua pasukan dan penjaga gol paling berpengalaman pasukan Perak FC, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy yang kini bersama Penang FC mengirim pesanan khas untuk penyokong Bos Gaurus yang kini ternanti-nanti kesudahan kemelut dalaman kelab itu termasuk isu kepimpinan dan tunggakan gaji.

Pemain berusia 28 tahun itu mula menyertai pasukan Perak pada 2016 dan pada 2021 Hafizul membuat keputusan yang sukar dengan berpindah ke Penang FC atas sebab mahu mengembangkan karier serta keluarga tersayang.

"Banyak sebenarnya kenangan yang baik bersama pasukan Perak. Penghijrahan saya ke pasukan Penang bukan suatu keputusan yang mudah dan memang saya berfikir panjang untuk ini.

"Banyak benda yang saya pertimbangkan sebelum ke Penang. Satu pengalaman yang cukup istimewa untuk saya bersama pasukan Perak sebelum ini.

"Sebelum ini dalam tiga empat tahun lepas memang saya rancang untuk keluar cuma belum ada rezeki dan rezeki datang tahun ini," katanya.

Hafizul juga berkongsi akan merindui semua pemain skuad Seladang terutamanya rakan sekolahnya iaitu Kenny Pallraj yang sebelumnya meninggalkan Perak FC pada 2021 untuk berhijrah ke Kuala Lumpur City FC.

"Azhar saya kenali hampir 11 tahun (dan) antara pemain yang cukup rapat tapi dalam bola sepak ini, kita mesti terima. Saya harap suatu hari nanti kami akan bersama.

"Buat penyokong Perak teruskan menyokong pasukan dan doakan yang terbaik untuk pasukan Perak," katanya apabila ditanya tentang pesanan yang ingin disampaikan kepada penyokong bekas kelabnya itu.

Dalam pada itu, Hafizul menceritakan kini dia dalam proses untuk mencari keserasian bersama pasukan Penang FC sebelum perlawanan bermula dan setakat ini proses itu berjalan dengan cukup baik.

Selain itu, selepas ketiadaan Samuel Somerville yang berhijrah ke Selangor FC, Hafizul juga dalam usaha untuk menjadi penjaga gol utama skuad Penang FC dengan saingan dari Khatul Anuar Jalil.

"Satu persaingan sihat tapi untuk saya secara peribadinya, utama itu belum pasti lagi sebab bagi kami bertiga, masing-masing ada kelebihan dan kekurangan.

"Siapa yang akan bermain dalam perlawanan pertama sebagai penjaga gol utama adalah terpulang kepada jurulatih yang mana kita tidak boleh pertikaikan tapi saya akan berkerja keras untuk cuba dapatkan penjaga gol utama.

"Doakan untuk pasukan Penang. Kami akan cuba berikan yang terbaik dan mencapai sasaran yang ditetapkan oleh pihak pengurusan untuk musim ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram