Tonggak Harimau Muda positif Covid-19 sebaik tiba di Kemboja


  • Podium
  • Sabtu, 12 Feb 2022

MALAYSIA bakal memulakan aksi menentang Myanmar pada Selasa. — FAM

SEORANG pemain skuad Bawah 23 (B-23) negara yang berada Phnom Penh, Kemboja bagi kejohanan Piala AFF B-23 terpaksa disisihkan selepas didapati positif Covid-19.

Ketua jurulatih, Brad Maloney berkata, pemain itu disahkan positif pada pagi Sabtu.

"Sebaik tiba, pasukan menjalani ujian calitan seperti yang ditetapkan protokol dan seorang pemain kita disahkan positif Covid-19 menerusi ujian yang dijalankan.

"Namun, pasukan perubatan sudah menguruskankan hal ini dan kita akan terus mematuhi protokol yang ditetapkan," katanya pada sidang media atas talian.

Menurut Maloney, pemain itu sudah dibawa ke fasiliti perubatan untuk menjalani proses pengasingan dan akan kekal di sana.

Malaysia, yang diundi dalam kumpulan B, bakal memulakan aksi menentang Myanmar pada Selasa sebelum berdepan cabaran Laos di stadium sama pada Jumaat.

Indonesia yang sepatutnya menjadi lawan akhir skuad negara menarik diri pada saat akhir akibat tujuh pemain dan seorang pegawai pasukannya disahkan positif Covid-19.

Hanya tiga juara kumpulan dan satu naib juara terbaik akan mara ke peringkat separuh akhir yang dijadual berlangsung pada 24 Februari dan perlawanan akhir dijadual pada 26 Februari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram