PENARIKAN diri skuad Bawah 23 tahun (B-23) Indonesia daripada saingan Piala AFF B-23 2022 di Phnom Penh, Kemboja Februari ini perlu dimanfaatkan skuad negara untuk muncul juara pada edisi kali ini.
Pemerhati bola sepak negara yang juga bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berkata, skuad muda Indonesia yang beraksi di final Piala AFF Suzuki 2020 berdepan Thailand Disember lalu merupakan cabaran terbesar buat skuad negara berbanding Myanmar dan Laos bagi saingan Kumpulan B.
“Bagi saya, ketiadaan skuad B-23 Indonesia yang membariskan sebahagian besar pemain yang beraksi pada Piala Suzuki AFF 2020 lalu membuka peluang untuk pasukan negara muncul juara. Kalau diikutkan, cabaran sebenar pasukan negara kali ini sudah pasti datangnya daripada pasukan Indonesia.
“Bagaimanapun, cabaran pasukan lain seperti Myanmar dan Laos juga tidak boleh dipandang mudah, namun jika mempamerkan aksi bersungguh-sungguh pasukan negara mampu mengatasi mereka,” katanya.
Juara bertahan Indonesia yang diundi dalam Kumpulan B bersama pasukan negara menarik diri daripada kejohanan itu, selepas Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) dalam kenyataan memaklumkan penarikan diri itu disebabkan tujuh pemain dan seorang pegawai pasukan disahkan positif Covid-19.
Penarikan diri Indonesia, menyaksikan skuad B-23 kebangsaan hanya akan menempuhi dua perlawanan kumpulan masing-masing menentang Myanmar pada 15 Februari dan Laos (18 Februari) di Stadium Prince.
Untuk rekod, hanya tiga juara kumpulan dan satu naib juara terbaik akan mara ke peringkat separuh akhir yang dijadual berlangsung pada 24 Februari dan perlawanan akhir dijadual pada 26 Februari.
Sementara itu Azlan berkata, saingan Piala AFF B-23 merupakan medan persiapan terbaik bagi skuad negara untuk beraksi pada pusingan akhir Piala Asia B-23 pada Jun depan.
Katanya, setiap kemenangan yang dilakar skuad negara pada saingan Piala AFF B-23 kali ini, diharap dapat memberikan keyakinan kepada setiap pemain untuk beraksi pada pusingan akhir berkenaan.
“Bagi saya, saingan Piala AFF B-23 kali ini merupakan medium persiapan terbaik skuad negara menjelang saingan di Piala Asia B-23 nanti. Jadi para pemain perlulah beraksi dengan penuh keyakinan dan menikmati setiap kemenangan yang diraih kelak sebelum berjuang pada Jun depan,” katanya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram