
PENYERANG baharu Melaka United, Norshahrul Idlan Talaha bertekad mahu merebut posisi utama di bahagian serangan walaupun mengakui saingan begitu sengit.
Pemain yang lebih dikenali sebagai Matyo itu berkata, dengan kehadiran penjaring terbanyak Liga Super 2021, Ifedayo Olusegun dan kehebatan pemain sayap, Sony Norde, beliau akan berusaha sebaik mungkin bagi mendapatkan tempat dalam pasukan.
Menurut bekas pemain kebangsaan itu, beliau akan memberikan 100 peratus ketika dalam latihan dan aksi persahabatan bagi memastikan prestasinya sentiasa dalam keadaan terbaik serta untuk memikat ketua jurulatih baharu, Risto Vidakovic.
“Jurulatih juga baru dilantik dan beliau akan menilai prestasi kami semua terutamanya dalam perlawanan persahabatan atau latihan.
“Jadi, bagi saya tidak kira taktikal yang bagaimana, jurulatih lebih tahu siapa yang boleh bermain dan kalau dapat peluang, sudah pasti saya akan melakukan yang terbaik.
“Cuma saya tahu dalam bola sepak, kita bermain sebagai satu pasukan dan bersatu antara satu sama lain adalah lebih penting untuk kami semua mencapai kejayaan cemerlang nanti,” katanya.
Dalam pada itu, walaupun sudah berusia 36 tahun, Matyo percaya beliau masih mampu untuk menjulang trofi sebelum bersara satu hari nanti.
"Setiap kali saya berhijrah, orang akan sering bertanya apakah sasaran saya, dan sudah pasti dengan usia saya 36 tahun sekarang, saya sebenarnya mendahagakan sesuatu piala untuk dimenangi," katanya.
Kali terakhir beliau memenangi piala adalah ketika menjuarai Thai League 1 bagi musim 2020/2021 ketika bersama BG Pathum United, manakala trofi terakhirnya dalam negara adalah Piala FA 2018 bersama Pahang.
Musim lalu, Matyo menjaringkan empat gol dalam 16 penampilan bersama Sarawak United FC di Liga Premier. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram