Ini pesanan khas Akmal Rizal buat KDA FC


  • Podium
  • Khamis, 03 Feb 2022

PADA masa lalu Akmal Rizal adalah antara pemain remaja terbaik Malaysia dan pernah menyertai kelab Eropah, SC Strasbourg pada 1999. — Ths Star

LEGENDA pasukan Kedah FC, Akmal Rizal Rakhli memberi motivasi dan kata-kata semangat kepada pemain Hijau Kuning FC yang terlibat dalam program pembangunan yang akan dijalankan di Kedah itu.

HANTARAN video ucapan dari Akmal Rizal Rakhli

"Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya buat Hijau Kuning FC dalam program pembangunan yang akan mereka jalankan di negeri Kedah," kata bekas pemain skuad kebangsaan itu menerusi hantaran dari laman Facebook Hijau Kuning FC pada Rabu.

Malah bekas pemain projek Olimpik 2000 itu juga mengucapkan selamat berjaya buat pemain-pemain yang akan datang mencuba nasib pada ujian pemilihan pada Jumaat dan Sabtu.

"Main sungguh-sungguh. Main dengan sehabis baik dan Insya-ALLAH jika terpilih saya yakin program Hijau Kuning FC ini akan membantu anda.

"Program ini juga akan dapat membantu untuk melahirkan lebih ramai pemain-pemain berbakat dan seterusnya pemain-pemain yang akan mewakili skuad utama kedah," katanya yang pernah beraksi di posisi penyerang itu.

Selain itu, beliau juga mengharapkan dari projek Hijau kuning FC itu akan terlahir pemain-pemain yang akan mewakili skuad kebangsaan kelak.

Hijau Kuning FC merupakan projek pembangunan bola sepak untuk memperagakan bakat baharu dan mendedahkan mereka dengan pengalaman bermain di peringkat Asia serta antarabangsa melalui rangkaian jalinan oleh syarikat penajanya iaitu Reds Defence.

Untuk rekod, Akmal Rizal adalah antara pemain remaja terbaik Malaysia dan beliau sempat mendapat kemunculan akhir bersama skuad projek Olimpik Malaysia sebelum terbang ke Eropah menyertai SC Strasbourg pada 1999.

Pada akhir kerjayanya di Kedah FA, beliau begitupun menghadapi kecederaan lutut yang menyebabkan Akmal Rizal terpinggir selama semusim sebelum akhirnya menyertai pasukan Sarawak lalu membuat kemunculan sebanyak lima kali bersama pasukan itu pada 2014. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram