Pesawat Harimau Malaya cetus inspirasi


  • Podium
  • Selasa, 08 Feb 2022

PESAWAT Airbus A330-300 dihiasi 'livery' Harimau Malaya. — Bernama

MALAYSIA Airlines Berhad (MAB) pada Selasa mengukuhkan kerjasamanya dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila melancarkan'livery' khas yang memaparkan lambang Harimau Malaya pada badan pesawat Airbus 330-300.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pelancaran pesawat berkenaan diharap dapat memberi sumber inspirasi kepada skuad Harimau Malaya untuk merangkul lebih banyak kejayaan.

“Pelancaran rasmi livery pesawat Harimau Malaya ini boleh diibaratkan sebagai peningkatan dalam perkongsian antara dua jenama nasional ini.

"Sebelum ini, Malaysia Airlines sangat bermurah hati membawa pasukan kebangsaan ke pelbagai perlawanan antarabangsa menggunakan penerbangan khas yang disewa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Rasmi Livery Pesawat Airbus 330-300 Harimau Malaya di Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines Berhad (MAB), Sepang pada Selasa.

Sejak 2019, Malaysia Airlines bertanggungjawab mengendalikan penerbangan khas buat skuad Harimau Malaya di luar rangkaiannya seperti Dubai dan Manama.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Kapten Izham Ishmail berkata, pihaknya berbesar hati dengan kerjasama antara dua jenama nasional ini yang dekat di hati seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, ia merupakan sebahagian daripada komitmen MAB untuk dalam memastikan skuad negara tiba ke destinasi perlawanan dengan selamat dan selesa.

"Kami gembira menjadi rakan kerjasama skuad kebangsaan dan tidak sabar untuk membawa skuad Bawah 23 tahun ke Phnom Penh, Kemboja untuk bersaing dalam Kejohanan AFF Bawah 23," katanya.

Tambahnya, bahagian luar badan pesawat berbadan lebar itu direka bentuk untuk memaparkan kedua-dua ikon kebangsaan itu dengan menghubungkan jalur-jalur merah dari Jalur Gemilang dengan logo Harimau Malaya, yang melambangkan kerjasama, kekuatan dan perpaduan antara kedua-dua jenama itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram