Dua nama disenarai pendek jadi pembantu Pan-Gon


  • Podium
  • Selasa, 08 Feb 2022

PAN-Gon akan membuat keputusan akhir berhubung pembantunya. — Agensi

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah menyenarai pendek dua calon bagi jawatan penolong ketua jurulatih tempatan bagi membantu Kim Pan-Gon.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, seramai enam calon telah ditemu duga oleh Pengarah Teknikal, Scott O'Donell dan ahli jawatankuasa pemilihan FAM mengikut kriteria yang ditetapkan.

"Beliau (O'Donell) sudah membentangkan kepada saya nama calon yang disenarai pendek dan saya menyerahkan kepadanya dan Pan-Gon untuk memutuskan siapa yang terbaik bagi jawatan itu.

"Bagi saya, cara itu adalah yang terbaik dan saya pun berpuas hati dengan pilihan beliau.

"Jadi, kita tunggu sehingga ketua jurulatih tiba dahulu dan beliau serta O'Donell akan menemu duga kedua-dua calon berkenaan sebelum membuat keputusan akhir," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Rasmi Livery Pesawat Airbus 330-300 Harimau Malaya di Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines Berhad (MAB), Sepang pada Selasa.

Menurut Hamidin, beliau yakin dengan kemampuan calon penolong ketua jurulatih tempatan yang bakal dipilih kerana nama-nama yang disenarai pendek itu merupakan mereka yang mempunyai Lesen Profesional serta berpengalaman luas dalam bola sepak.

Dalam pada itu, Hamidin enggan mengulas jika kedua-dua calon berkenaan terikat dengan mana-mana kelab tetapi menyatakan FAM sedia berunding dengan majikan mereka jika calon berkenaan menjadi pilihan Pan-Gon.

"Kalau betul dia terikat dengan kelab dan tiada pilihan lain, kita akan pilih calon kedua," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram