Import baharu Sabah FC tolak tawaran kelab musuh sebelum ke Borneo


  • Podium
  • Isnin, 07 Feb 2022

PESSOA sah diumumkan sebagai pemain baharu Sabah FC bulan lalu. — Agensi

KELAB Liga Super, Sabah FC bulan lalu mengumumkan penyerang import baharunya, Neto Pessoa yang ditandatangani dari kelab Brazil, Remo.

Pemain berusia 27 tahun itu bermain dengan sembilan kelab di Amerika Selatan daripada tahun 2014 hingga 2021 sebelum menyertai Sabah.

Namun, sebelum membuat keputusan untuk ke kelab Borneo itu, Pessoa sebenarnya mendapat tawaran untuk menyertai satu lagi kelab Brazil yang merupakan seteru utama Remo, Paysandu.

Pemain itu bagaimanapun menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahaginya kepada kelab itu apabila menolak sekeras-kerasnya peluang untuk berpindah ke kelab berkenaan.

Bercakap kepada akhbar tempatan hujung tahun lalu, Pessoa berkata, beliau tidak berhajat untuk melukakan hati penyokong yang sentiasa berada di belakangnya.

“Pada masa ini, tidak ada kemungkinan saya akan menyarung jersi Paysandu.

“Saya telah membina sejarah di Remo, dan mempunyai rasa hormat terhadap peminat dan lembaga pengarah kelab", katanya.

Pessoa tiba di Remo pada awal September tahun lalu, bermain 15 perlawanan dan merupakan penjaring terbanyak pasukan dengan 10 gol.

Persembahan mantapnya bersama pasukan berjaya menambat hati penyokong yang mahu kontraknya disambung, namun terdapat isu mengenai perbincangan kontrak baharu yang menyebabkan beliau membuat keputusan untuk berhijrah ke Liga Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram